Berita

Pengikut sendiri pun samseng, wasatiyah apa yang Perdana Menteri mahu?

KUALA LUMPUR, 28 MAC: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak perlu ‘cakap tak serupa bikin’ apabila mencadangkan agar konsep wasatiyah atau kesederhanaan dilaksanakan dalam kurikulum sekolah dan universiti.

Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kula Segaran berkata, ini kerana Najib Razak selaku Presiden UMNO sendiri pun gagal menangani sikap ganas yang ditunjukkan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos.

“Saya sangat bersetuju bahawa kesederhanaan mampu mengatasi sikap pelampau dan semua ahli politik perlu memainkan peranan mereka untuk menggalakkan kesederhanaan.

“Bagaimanapun, peristiwa yang terjadi sebelum ini tidak menyakinkan rakyat bahawa dia (Najib Razak) bersungguh-sungguh dalam kesederhanaan ekoran sikap berdiam diri dan kegagalannya untuk bertindak terhadap pelampau.

“Perangai Jamal Yunos jelas tidak bersesuaian dengan prinsip kesederhanaan, bagaimanapun UMNO sehingga kini tidak kenakan tindakan disiplin terhadapnya,” kata Kula yang juga Naib Pengerusi DAP dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas jawapan Najib Razak terhadap soalan Ahli Parlimen Pendang, Datuk Othman Abdul dalam Dewan Rakyat semalam mengenai sama ada kerajaan akan menerapkan konsep wasatiyah dalam kurikulum sekolah dan universiti.

“Memang kalau kita selidik semua agama, setiap agama itu ada amalan-amalan yang boleh dikatakan universal walaupun kita berbeza dari segi akidah tetapi dari segi nilai kebersamaan, agama Kristian ke, agama Buddha ke, ada maksud kesederhanaan,” kata Najib Razak.

Jamal Yunos yang terkenal dengan gelaran Jamal Ikan Bakar merupakan Ketua Baju Merah yang sering menganjurkan perhimpunan berunsur provokasi terhadap pihak pembangkang yang lantang mengkritik UMNO-Barisan Nasional.

Dia juga pernah mengadakan perhimpunan haram penuh provokasi di hadapan pejabat portal berita Malaysiakini.

Bagaimanapun, sehingga kini tidak ada tindakan keras diambil terhadap Jamal Yunos. – Roketkini.