Berita

Puas hati dengan perkhidmatan, semakin ramai sertai DAP di Keningau

KENINGAU, 28 MAC: Siapapun tidak menyangka DAP yang selama ini terkenal di kawasan bandar kini semakin mendapat tempat di hati rakyat luar bandar dan pedalaman.

Jika dahulu DAP ditohmah dengan pelbagai dakwaan dan andaian, kini nama DAP meniti dari mulut ke mulut masyarakat di sini hasil usaha keras khidmat masyarakat yang dijalankan.

Bagi Parlimen Keningau, DAP telah mencipta rekod baru dengan projek air graviti terbesar pernah dilaksanakan di Malaysia dan memanfaatkan sekurang-kurangnya 2,000 penduduk dari lima buah kampung.

Tidak terhenti di situ, DAP Keningau juga telah berjaya melaksanakan lebih 40 kali program pemerkasaan ekonomi keluarga dengan penganjuran bengkel-bengkel pembuatan makanan dan mendapat penyertaan memberangsangkan khussunya dari golongan wanita dan peniaga kecil.

Komitmen DAP terhadap masyarakat luar bandar di sini justeru telah menggerakkan penubuhan lebih banyak cawangan DAP.

Kelmarin, DAP Keningau menerima penyertaan dari 65 ahli baru dalam satu majlis penyerahan keahlian dan ramah mesra penduduk dari Kg Pangas Ulu dalam DUN Bingkor.

Pada hari berikutnya, sebuah majlis perasmian cawangan penaja DAP gabungan dari tiga buah kampung iaitu Kg Awas-Awas, Kg Linggawon dan Kg Labak Baru telah diadakan.

Menurut Peter, penerimaan baik masyarakat setempat terhadap perjuangan DAP semakin ketara memandangkan perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat tanpa pilih kasih dan latar belakang.

“Nama DAP semakin meniti dari mulut ke mulut penduduk sekitar DUN Bingkor.

“Buktinya, satu lagi cawangan penaja baru akan di lancarkan pada 2 April ini. DAP Keningau berjaya membuktikan bahawa slogan ‘Berjuang Untuk Rakyat’ adalah seperti kata yang dikota”, katanya lagi.

Dalam majlis tersebut, penduduk juga telah menyerahkan cadangan pembinaan Sistem Air Graviti bagi kampung mereka. –Roketkini.com