Berita

DAP persoal projek RM1.4 juta ubahsuai laluan masuk kediaman Speaker  

KUALA LUMPUR, 31 MAC: Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia terus diselubungi persoalan melibatkan kos pengubahsuaian laluan masuk ke kediaman rasmi beliau berjumlah RM1.4 juta di alamat No 3 Bukit Tunku.

Perkara ini tercetus apabila Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof menjawab soalan bertulis Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming yang meminta menteri berkenaan menyatakan kos perbelanjaan pembinaan tembok baru dan menaik taraf jalan ke kediaman rasmi beliau.

Dalam jawapan bertulis itu menteri berkenaan berkata, selain pembinaan jalan, kos RM1.4 juta itu turut melibatkan kerja-kerja saliran, pos keselamatan, pagar elektronik, sistem keselamatan, lampu jalan dan perkara berkaitan.

Projek ubahsuai dan laluan konkrit 100 meter berjumlah RM1.4 juta di rumah Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin menimbulkan persoalan.

Rentetan dari persoalan itu, hari ini Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming dan Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng membawa media berkunjung ke kediaman rasmi Pandikar.

Mereka telah meminta kebenaran untuk meninjau kawasan kediaman berkenaan kepada seseorang yang mengaku sebagai ‘ahli keluarga’ Pandikar yang berada di bilik pengawal namun, rombongan media tidak dibenarkan masuk.

Menurut Kian Ming, jawapan yang diberikan Pandikar bahawa beliau tidak ada kena mengena dengan projek ubah suai berkenaan adalah tidak masuk akal.

Tambahan pula, beliau telah memegang jawatan tersebut hampir dua penggal.

“Saya rasa sebagai Speaker, beliau memang ada hak atau preference sama ada jalan ini patut dinaiktaraf atau tidak.

“Sebelum ini kerajaan kata mereka tak ada dana, terpaksa potong sana sini bajet pendidikan-kesihatan dan sebagainya.

“Kalau tidak ada permintaan dari pihak beliau untuk naiktaraf jalan ni, saya rasa kerajaan memang takkan buat apa-apa kerana mereka perlu jimat duit buat sekolah atau perkara lain,” katanya kepada pemberita.

Kian Ming turut meluahkan rasa hairan terhadap kewajaran kerajaan melaksanakan projek RM1.4 juta berkenaan memandangkan sebelum ini tidak banyak acara rasmi diadakan di kediaman tersebut.

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng pula mahu supaya Speaker Dewan Rakyat itu menjawab sama ada adakah Jabatan Krrja Raya melakukan rundingan dengannya terlebih dahulu sebelum projek tersebut di jalankan.

“Soalan saya, sebelum JKR luluskan rekabentuk projek RM1.4 juta ini, adakah kementerian berunding dengan Pandikar?

“Adakah kerja-kerja ini dilakukan tanpa pengetahuan pandikar, tanpa rundingan dengan beliau? Saya mahu beliau jawab persoalan ni,” katanya lagi.

Beliau juga tertanya-tanya apa yang bakal dijelaskan Pandikar kepada rakyat yang diwakilinya di Sabah yang sebahagiannya masih kekurangan infrastruktur dan kemudahan.

“Saya tertanya-tanya juag bagaimana beliau terangkan kepada rakyatnya di Sabah. RM1.4 juta ini jika digunakan boleh buat sekolah atau rumah mampu milik di sana,” katanya lagi.

Selepas sidang media di hadapan pintu pagar yang baru dibina itu, media di bawa ke sebelah kiri kediaman berkenaan dan meninjau laluan masuk utama dengan pondok pengawal dan dikawal oleh polis bantuan. –Roketkini.com