Berita

RUU355: PAS makan umpan politik UMNO, wujudkan pertembungan 3 penjuru

KUALA LUMPUR, 31 MAC: Kesungguhan UMNO yang sebelum ini mahu mengambil alih usul persendirian  Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 akhirnya menemui jalan buntu.

Usul yang lebih dikenali sebagai RUU355 itu kata Naib Presiden PKR Rafizi Ramli terus kekal menjadi mainan politik UMNO apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ‘tidak jadi’ membentangkannya di Parlimen.

“Keputusan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk tidak membentangkan sendiri cadangan pindaan kepada Akta 355 bagi menaikkan had hukuman Mahkamah Syariah adalah pukulan maut (“total knock-out/TKO”) kepada sebarang usaha untuk menghidupkan usul itu.

“RUU355 kekal permainan politik UMNO untuk memastikan berlaku pertembungan 3 penjuru dalam PRU14,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, keikhlasan Najib untuk membentangkan usul itu malah boleh dipersoal.

Ini kerana kuasa sebenar untuk memperkasakan Mahkamah Syariah terletak di tangan Najib Razak sendiri selaku Perdana Menteri.

Jelasnya dalam Peraturan Dewan 49, ia jelas menyebut bahawa sebarang rang undang-undang persendirian walaupun pun dibenarkan dibaca, dibahas dan menang undian di Dewan Rakyat, ia tidak akan pergi ke peringkat yang lebih jauh.

“Kecuali Kerajaan sendiri bersetuju untuk menerima cadangan RUU itu dan diambil alih untuk dibentangkan semula di Dewan Rakyat bagi bacaan kali kedua,” ujar beliau.

Katanya jika Najib benar-benar ikhlas untuk membentangkan usul Hadi tersebut, beliau sudah tentu akan meneruskan janjinya yang dibuat di Perhimpunan Agung UMNO yang lalu bahawa pihak Umno (dan Kerajaan Persekutuan) sendiri yang akan membentangkan perkara ini dan melalui proses Dewan Rakyat mengikut Peraturan Mesyuarat.

“Sama ada RUU355 dibenarkan dibentang atau tidak, saya telah buat pendirian kerana telah cukup maklumat dengan menilai keikhlasan Datuk Seri Najib dalam hal ini.

“Bentanglah secepat mungkin supaya kita boleh kembali kepada isu-isu rakyat yang lebih tinggi keutamaannya untuk diselesaikan berbanding permainan politik UMNO ini,” katanya lagi.

Sentimen kaum dan agama, senjata politik UMNO

Menyifatkannya sebagai senjata politik UMNO, Ahli Parlimen Taiping Nga Kor Ming pula berkata kontroversi melibatkan usul Presiden PAS itu telah digunakan untuk mengalih perhatian masyarakat daripada isu sebenar yang sedang melanda negara.

“Ketika negara dilanda krisis kewangan, kejatuhan ringgit dan rakyat terhimpit dengan pelbagai kenaikan kos sara hidup, kerajaan BN perlu mengalih perhatian dan fokus rakyat, malangnya RUU355 telah dijadikan senjata politik walaupun rang undang-undang itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Semua rakyat wajib sedar Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan yang jelas menyatakan Perlembagaan adalah undang-Undang tertinggi negara kita dan mana-mana Akta yang bercanggah dengan Perlembagaan adalah tidak sah dan tidak berkesan,” katanya.

Menurut Pengerusi DAP Perak itu, UMNO sedar bahawa sentimen perkauman dan agama merupakan jalan mudah untuk memesongkan pandangan rakyat.

“Jangan lagi ada yang masuk perangkap oleh pihak yang bertopengkan agama tapi hanya untuk kepentingan peribadi mereka,” katanya lagi. – Roketkini.com