Rencana

‘Pelakon’ terkenal Malaysia bertemu Rajinikanth

“Tuhan mengurniakan banyak perkara kepada mereka yang jahat, tetapi Dia tetap akan menggagalkan mereka jua akhirnya. Tuhan banyak menguji mereka yang baik-baik, tetapi Dia tidak sesekali akan mengecewakan mereka,” kata Rajinikanth menerusi filemnya Baashha yang ditayangkan dalam tahun 1995.

Selain gemar membebankan rakyat dengan pelbagai dasar mengarut, Datuk Seri Najib Razak juga gemar berswafoto (selfie). Minat ini bukanlah sesuatu yang luar biasa. Lagipun ia adalah trend hipster yang boleh menarik hati golongan anak muda seperti yang disarankan oleh Timbalannya.

Malah apabila seseorang seperti Najib Razak yang melakukannya – ia boleh menjadi nilai berita yang penting. Maka kegemarannya berswafoto tidak wajar dibendung.

Beliau pernah berswafoto bersama Presiden ke-44 Amerika Syarikat, Barrack Obama sekitar tahun 2014.

Untuk rekod, Najib Razak juga pernah berswafoto dengan Presiden ke-24 Perancis; Francois Hollande; Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong; Presiden Turki,  Recep Tayyip Erdogan dan juga artis terkenal yang pernah berduet dengan Yuna iaitu Usher.

Beliau juga pernah turut berswafoto bersama Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz al-Saud yang membuat lawatan rasminya ke Malaysia baru-baru ini.

Mungkin akibat asyik berswafoto, mereka terlupa berbalas penghargaan dan membuat kenyataan bersama mengenai wang derma yang diterima oleh Najib Razak yang kemudian memulangkannya semula.

Rajinikanth bertemu peminat

Terbaru, sewaktu lawatan rasminya ke Chennai, India, Najib Razak turut berkongsi gambar swafotonya bersama pelakon lagenda filem Tamil – Shivaji Rao Gaekwad atau lebih popular dengan nama Rajinikanth.

Sesiapa saja tidak akan menolak jika berpeluang untuk berswafoto dengan pelakon terkenal yang sehingga kini suka mengenakan pakaian dhoti kurta hampir setiap masa.

Namun apa yang lebih menarik daripada aksi swafoto Najib Razak dan Sivaji: The Boss tersebut adalah jauh mengatasi rasa keterujaan kita melihat sekeping gambar seorang pelakon terkenal bersama peminatnya.

Ia sebenarnya lebih jauh daripada itu.

Swafoto tersebut adalah aksi antara seorang pelakon terkenal yang diangkat menerusi filem-filem berjiwa rakyat dan berjuang mewakili mereka yang ditindas melawan pemerintah yang korup tetapi bergambar bersama tokoh politik yang kebetulan pula sama seperti menjadi watak-watak  yang ditentangnya di dalam filem. Lucu bukan?

Swafoto tidak mengurangkan beban rakyat

Rakyat Malaysia tidak ada yang terkecuali hari ini merasa beban dengan kesan ekonomi akibat dasar yang diperkenalkan oleh Najib Razak.

Pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang memasuki ulang tahunnya yang kedua semalam adalah antara projek oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang paling memberi kesan langsung kepada seluruh lapisan rakyat Malaysia.

Ia adalah hasil cukai regresif yang memerah hasil rakyat yang tak seberapa hanya untuk menampung kegagalan pengurusan wang negara dan kegagalan urus tadbir kewangan yang diakibatkan oleh pemimpin yang boros dan rasuah.

Dari skandal hutang 1MDB yang didakwa melebihi RM39 billion ringgit, skandal MARA, FELDA dan Tabung Haji yang kesemuanya melibatkan institusi-institusi bumiputera dan hal-ehwal orang Islam sehinggalah yang melibatkan penyalahgunaan kuasa oleh penjawat awam, ia bagai berkait rapat dengan filem-filem Rajinikanth di mana beliau memainkan watak hero yang membela mereka yang ditindas oleh orang-orang politik seperti Najib Razak dan mereka yang berada disekelilingnya.

Semua ini adalah sebahagian daripada senarai panjang skandal-skandal kewangan yang menyebabkan masalah ekonomi kepada negara dan memberi kesan langsung kepada rakyat. Tidak ada orang yang tidak mengeluh hari ini.Berbanding dengan Rajinikanth, hero filem yang berswafoto dengan Najib Razak, beliau selalu mengabadikan kisah-kisah kesusahan rakyat marhaen di bawah yang tertindas menerusi filem-filem yang dilakonkannya.

Rajinikanth bukan menjadi ikon di dalam filem sahaja malah juga di luar filem. Ini hasil sikap dan keperibadian beliau di luar layar perak yang menjadikan beliau hero pujaan peminat  filem-filem Tamil sehingga kini.

Rajinikanth dianggap pejuang yang menjadi idaman rakyat marhean dengan mengangkat masalah-masalah kezaliman pemerintah ke atas rakyat miskin di bawah, isu-isu rasuah yang membarah di India sehingga melibatkan pegawai-pegawai kanan polis yang bertuhankan orang politik, hakim-hakim yang dicucuk hidung oleh penguasa atau pemimpin-pemimpin politik yang tamak dan gilakan kuasa.

Kisah-kisah yang diangkat melalui filem-filemnya kebanyakannya adalah terjemahan sebenar kemiskinan dan penindasan rakyat dibawah serta perjuangan mereka menentang kezaliman pemimpin yang korup seperti dakwaan ke atas Najib Razak saban hari.

Rajinikanth berswafoto dengan pelakon terbaik

Najib Razak sebenarnyalah adalah pelakon terbaik. Malah lakonannya di depan rakyat jauh lebih meyakinkan dan telah pun menyaingi Rajinikanth dalam hampir semua filem-filem Tamil lakonannya.

Lihat sahaja apa yang baru sahaja yang beliau lakonkan dalam adegan RUU355 bersama PAS.

Ia sebermula dari Perhimpunan Agung UMNO 2016 apabila lakonan Najib Razak berjaya membuatkan ahli-ahli UMNO naik ‘sheikh’ apabila beliau menyebut bahawa kerajaan akan mengambil alih untuk membentang rang undang-undang bagi tujuan meminda Akta 355 – bagi pihak PAS.

Biarpun lakonan beliau tidak dapat membohongi parti-parti pembangkang yang lain, namun PAS tetap naik berahi dengan aksi lakonan Presiden UMNO tersebut.

Akibatnya, PAS  menjadi khayal dengan watak yang dimainkan oleh Najib Razak. PAS tidak mampu membezakan lakonan antara Najib Razak dan seseorang seperti Rajinikanth di dalam filemnya. Yang mana satu hero, yang mana satukah petualangnya?

Akhirnya polemik RUU355 telah menjadi candu paling berjaya untuk digunakan sebagai prop tambahan menyelami watak Perdana Menteri yang kononnya menjadi pejuang Islam tetapi sebenarnya memperdagangkannya menjadi subjek paling emotif kepada rakyat terutama dalam kalangan orang Melayu yang beragama Islam.

Dengan kejayaan lakonan tersebut, Najib Razak berjaya memecah dan menguburkan Pakatan Rakyat; membuatkan BN kekal sepakat sesama parti-parti komponennya seperti dalam isu RUU355 tetapi meninggalkan PAS jatuh terduduk terkontang-kanting.

Lakonan Najib Razak memukau PAS sehingga ke Padang Merbok biarpun beliau sekadar menghantar pelakon-pelakon tambahannya saja. Akibatnya, masyarakat kini memandang PAS laksana sepasang mata di tengah hari rembang.

Jadi, apabila rakyat Malaysia disajikan aksi swafoto seorang pelakon tersohor dari India bergambar dengan Najib Razak – peminatnya dari Malaysia – kita telah membuat tanggapan yang salah. Lebih tepat lagi, ia adalah gambaran yang sebaliknya.

Ini kerana bukan Rajinikanth yang bergambar bersama peminatnya dari Malaysia, rupa-rupanya swafoto tersebut adalah di antara ‘pelakon’ terkenal dari Malaysia dengan peminatnya dari India! – Roketkini.com

*Nor Miswary Ramli adalah Setiausaha DAP Cawangan USJ Subang Jaya