Berita

DAP Pensiangan beri jaminan selesai masalah air rakyat di pedalaman

SOOK: DAP Pensiangan memberi keyakinan kepada penduduk bahawa DAP mampu membawa perubahan kepada kehidupan mereka dengan melaksanakan tindakan jangka masa pendek menyelesaikan masalah khasnya melibatkan isu bekalan air yang sudah berlanjutan sekian lama.

Menurut Penyelaras DAP Pensiangan Adrian Lasimbang, DAP sudah lama membuktikan kejayaan dalam melaksanakan projek jangka masa pendek seperti pemasangan sistem air graviti dan penapisan yang sekaligus membantu penduduk kampung mengatasi masalah bekalan air, walaupun dengan sumber dana yang amat terhad.

Kata beliau, melalui inisiatif Impian Sabah yang dilaksanakan oleh DAP Pensiangan, ramai penduduk kini dapat menikmati sumber air bersih ke rumah mereka.

“Kami perlu mencari jalan untuk mengatasi masalah ini kerana air adalah hak asas semua orang. Malangnya, semua ini hanya mampu mereka impikan sudah sekian lama.

“Tetapi kita telah berjaya memenuhi impian mereka tanpa membazirkan wang rakyat bernilai jutaan ringgit,” kata Adrian ketika meninjau Kg Biah pada Jumaat lepas untuk membantu penduduk di situ mereka bentuk pelan dan membina sistem air graviti dan penapisan.

Ketua Biro Pendidikan DAP Sabah itu menjelaskan, berdasarkan sumber rasmi, sebanyak 40 peratus kawasan di Sabah rata-ratanya di luar bandar masih belum menikmati air bersih.

Penyelaras DAP Pensiangan, Adrian Lasimbang


“Masih ramai penduduk yang mendapatkan sumber air untuk keperluan harian termasuk untuk diminum dari sungai atau perigi,” katanya.

Adrian berpandangan, rekabentuk teknikal yang salah antara punca utama masalah air di Pensiangan.

“Kerajaan telah membelanjakan wang yang banyak di bawah Program Bekalan Air Luar Bandar tetapi saya amat terkilan kerana masih terlalu ramai yang bergantung kepada sungai dan perigi sebagai sumber bekalan air.

“Ternyata rekabentuk teknikal Jabatan Air Sabah adalah salah kerana tidak mengambil kira faktor seperti tekanan dan punca air sehingga menyebabkan paip air tidak berfungsi dengan baik,” tambah Adrian yang juga pakar dalam bidang kejuruteraan.

“Ada kemungkinan juga projek-projek kerajaan yang dikatakan untuk membekal air kepada penduduk luar bandar hanyalah untuk kepentingan politik pihak tertentu dan bukannya ikhlas untuk menyelesaikan masalah bekalan air penduduk,” tambahnya lagi.

Ujarnya, jika ini adalah realiti sebenar, ia merupakan satu pengainayaan kepada penduduk yang rata-ratanya miskin kerana air adalah hak asasi setiap manusia.

Katanya juga, tindakan pihak tertentu yang sanggup membiarkan penduduk menderita demi kepentingan politik dan peribadi adalah satu bentuk jenayah yang perlu dihapuskan.

*Kee Helmy merupakan Pegawai Perhubungan dan Media DAP Pensiangan