Berita

Siapa agaknya Ahli Parlimen yang ada ijazah palsu?

KUALA LUMPUR, 4 MAC: Terdapat dalam kalangan Ahli Parlimen yang mempunyai Ijazah Kedoktoran (PhD) atau Ijazah Sarjana (Master) palsu.

Perkara ini didedahkan Ahli Parlimen Serdang, Dr. Ong Kian Ming dalam sesi soal-jawab di Parlimen sebentar tadi.

“Sebenarnya saya sudah bangkitkan perkara ini beberapa kali di dewan yang mulia ini.

“Di mana saya telah kata bahawa ada yang berhormat (YB) yang duduk di dalam dewan ini yang mempunyai ijazah palsu, bukan sahaja PhD tapi di tahap Master juga,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Justeru, beliau yang juga Penolong Setiausaha DAP Selangor mencadangkan supaya anggota Parlimen yang mempunyai PhD atau Master untuk membuktikan kesahihan ijazah mereka.

“Ini akan memberikan satu tanggapan yang sangat baik kepada semua rakyat Malaysia bahawa kita sebagai Ahli Parlimen tidak boleh menggunakan ijazah palsu sebagai cara untuk mendapatkan PhD,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa bukti mengenai dakwaannya itu akan didedahkan nanti. – Roketkini.com