Berita

Kerugian FGV: Pakatan Harapan rangka penyusunan semula pelan pelaburan Felda

KUALA LUMPUR, 4 APRIL: Bimbang dengan kerugian berterusan dihadapi Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV), Pakatan Harapan mencadangkan agar segala transaksi yang tidak telus melibatkan syarikat itu dibatalkan.

Ia termasuk pelaburan Eagle High Plantations dan pinjaman wang dari Putra Star Investments.

Selain itu, Pakatan Harapan juga akan merangka pelan penyusunan semula pelaburan Felda bagi memberikan tumpuan kepada perniagaan teras perladangan yang selari dengan matlamat meningkatkan kesejahteraan peneroka.

“Pakatan Harapan juga akan mengkaji manfaat dan risiko mengembalikan kawalan majoriti Felda Holdings Berhad dari FGV kepada Koperasi Permodalan Felda,” kata Pakatan Harapan dalam satu kenyataan bersama, hari ini.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Ketua Biro Parlimen Felda DAP, Datuk Mohamad Ariff Sabri Abdul Aziz, dan Ketua Penerangan PKR, Syed Ibrahim Syed Noh.

Cadangan itu dibuat sebagai reaksi kepada kerugian sebanyak RM203.18 juta yang dialami Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selepas menjual saham-saham miliknya dalam FGV pada Ogos tahun lalu.

“Perlu disedari bahawa tindakan KWSP adalah respon kepada prestasi kewangan yang bermasalah secara berterusan serta pengurusan lemah dan mengelakkan KWSP yang dimiliki rakyat terbanyak mengalami kerugian yang lebih parah,” ujar Pakatan Harapan.

Menurut Pakatan Harapan, kelemahan pentadbiran FGV bukan sahaja telah mengakibatkan kerugian terhadap peneroka Felda malah kepada rakyat yang mencarum kepada KWSP.

Ketika disenaraikan di Bursa Malaysia pada 2012, FGV menjana perolehan RM10 bilion dengan disebut-sebut menjadi salah satu daripada tawaran awam permulaan (IPO) terbesar dunia bagi tahun berkenaan, iaitu kedua terbesar selepas Facebook Inc.

Namun, FGV yang disenaraikan dengan nilai RM4.55 sesaham mengalami penurunan sehingga mencecah paras terendah RM1.15 sesaham pada Ogos 2015. – Roketkini.com