Berita

Kontrak RM1 bilion kerajaan BN Sarawak tanpa tender terbuka timbulkan persoalan

KUALA LUMPUR, 4 APRIL: Tindakan kerajaan BN Sarawak menganugerahkan projek bernilai RM1 bilion kepada syarikat tanpa tender terbuka menimbulkan keraguan terhadap ketelusan pemberian projek tersebut.

Lebih membimbangkan, projek menaiktaraf infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan membina 5,000 menara telco yang diberikan kepada SACOFA Sdn Bhd itu menyebabkan kerajaan Sarawak terpaksa menanggung beban hutang yang besar kata Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, pemberian projek kepada satu-satunya syarikat yang memiliki kawalan penuh terhadap pembinaan dan pelesenan infrastruktur ICT di Sarawak tersebut hanya akan menyebabkan peningkatan kos dan tidak efektif.

“DAP menyokong penuh pembangunan ICT di Sarawak tetapi kami membantah cara BN menjalankan proses pemberian projek itu kerana mereka hanya memberikan kepada satu-satunya syarikat untuk menjalankan dan memonopoli hak membangunkan infrastruktur ICT.

“Ia melibatkan bebanan kos yang tinggi kepada kerajaan dan terpaksa ditanggung rakyat Sarawak,” katanya.

SACOFA ditubuhkan pada tahun 2001 telah diperbadankan sebagai syarikat yang dikawal selia dan dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak dan telah diberi kuasa penuh mengawal selia infrastruktur ICT Sarawak melalui pindaan undang-undang negeri jelas Chong.

Apa yang menarik perhatian, pada tahun 2015, Kerajaan Sarawak telah menjual sebanyak 50 peratus saham dalam SACOFA kepada CMS Group (Kumpulan Cahaya Mata Sarawak) dibawah harga sepatutnya.

CMS Group pula merupakan sebuah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang memiliki lebih 35 anak syarikat yang menjalankan pelbagai perniagaan dalam bidang pembinaan, perdagangan, infrastruktur telco, hartanah, pendidikan dan sebagainya.

Pengumuman pemberian projek bernilai RM1 bilion ini ujar Chong, ia tidak dapat menolak kemungkinan bahawa segalanya telah ‘dirancang’ supaya CMS Group mendapat potongan harga terbesar daripada projek tersebut.

Ia, kata beliau dapat dilihat berdasarkan beberapa kronologi penting:

1)      Kerajaan menubuhkan syarikat untuk menjalankan pengawalan ke atas infrastruktur ICT Sarawak

2)      Dengan kuasa pengawalan itu, syarikat dapat menjalankan aktiviti komersil mereka dengan bantuan kewangan dari kerajaan.

3)      Apabila syarikat semakin kukuh, kerajaan menjualkannya dengan murah kepada CMS Group

4)      Kerajaan memberikan kontrak bernilai RM1 bilion kepada SACOFA untuk memiliki kawalan penuh ke atasnya.

“Saya ada satu soalan kepada Ketua Menteri, Abang Jo; adakah kerajaan negeri telah melupakan sedikit pembaharuan yang telah dimulakan oleh Almarhum Tan Sri Adenan dan kembali kepada amalan kronisme melampau di bawah pentadbiran Taib?” – Roketkini.com