Berita

Berprinsip dan kuat kerja, DAP pilihan terbaik masyarakat pedalaman Sabah

KENINGAU, 5 APRIL: Komitmen berterusan DAP berjuang untuk mengembalikan Sabah sebagai rakan kongsi setara antara salah satu sebab mengapa parti ini semakin diterima rakyat Sabah khususnya masyarakat luar bandar.

Selain itu, keprihatinan DAP terhadap pembangunan infrastruktur asas khususnya kemudahan bekalan air dan elektrik dengan menjalankan pelbagai projek di pedalaman menjadikannya sebuah parti yang boleh diharap dan dipercayai mampu memberikan khidmat kepada rakyat.

Rekod cemerlang perkhidmatan DAP telah menyebabkan semakin ramai masyarakat di sini berminat untuk bersama menyertai parti.

Terkini, satu lagi cawangan penaja DAP Sendapak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bingkor telah ditubuhkan dengan penyertaan sekurang-kurangnya 60 ahli dan bilangannya semakin meningkat.

Majlis sederhana tetapi meriah yang diadakan di perkarangan rumah Stephen Nair itu dirasmikan oleh Pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong Tien Fat dan dihadiri kira-kira 200 orang.

Pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong memalu gong sebagai simbol perasmian cawangan penaja DAP Sendapak

Mengalu-alukan penyertaan ahli baru, Stephen yang juga Ahli Parlimen Sandakan berkata DAP sentiasa menyuarakan isu dan masalah yang dihadapi Sabah seperti hak autonomi, ekonomi, kemudahan infrastruktur dan sebagainya.

“Sejak bertahun-tahun penglibatan saya dengan DAP, saya tidak pernah berasa jemu berhujah, membahas dan mengutarakan usul berkenaan isu-isu yang berlaku di Sabah termasuklah di pedalaman,” katanya.

Malah, beliau dalam sesi Parlimen lalu telah mencadangkan usul kepada Dewan Rakyat supaya pindaan Perlembagaan dibuat untuk mengembalikan status Sabah sebagai rakan kongsi setara dalam Persekutuan Malaysia sejajar dengan Perjanjian Malaysia 1963.

“Perjuangan DAP selaras dengan aspirasi Sabah. Kita menyuarakan aspirasi rakyat Sabah di Parlimen dan mahu supaya Sabah mendapat layanan yang adil dan saksama,” katanya lagi.

DAP komited perjuang hak Sabah 

Turut memberikan ucapan ialah Pengerusi DAP Keningau, Peter Saili.

Selaku orang yang bertanggungjawab melebarkan sayap DAP di kawasan luar bandar khususnya di Keningau, Peter berkata penyertaanya ke dalam DAP sebelum ini didorong oleh komitmen yang ditunjukkan parti dalam memperjuangkan hak-hak Sabah.

“Saya menyertai DAP kerana halatuju perjuangan DAP yang jelas. DAP sejak dahulu komited mahu mengangkat semula taraf Sabah sejajar kedudukannya sebagaimana dalam Perjanjian Malaysia 1963.

“Ketika kita mendengar DAP menyuarakan perkara ini di Parlimen, kita berasa hairan mengapa wakil-wakil rakyat Sabah yang lain khususnya dari BN hanya membisu,” ujar beliau.

Menurutnya, komitmen yang ditunjukkan DAP selama ini menjadi salah satu sebab beliau meninggalkan Parti Bersatu Sabah (PBS) pada tahun 1994 yang dilihat sudah lari daripada matlamat asal apabila parti itu menyertai BN.

Kata Peter, pihaknya juga sedang berusaha untuk menubuhkan lagi beberapa cawangan penaja baru selain meneruskan perkhidmatan pembangunan infrastruktur asas kepada penduduk.

Sebelum ini, DAP Keningau telah menerima penyertaan keahlian daripada 65 ahli baru dalam satu majlis penyerahan keahlian dan ramah mesra penduduk dari Kg Pangas Ulu dalam DUN Bingkor.

Ia disusuli sebuah majlis perasmian cawangan penaja DAP gabungan dari tiga kampung iaitu Kg Awas-Awas, Kg Linggawon dan Kg Labak Baru.

DAP Keningau, sejak penubuhannya telah bergiat aktif memberikan perkhidmatan kepada masyarakat di sini.

DAP laksana projek bantu rakyat pedalaman yang dipinggirkan BN

Banyak projek pembangunan berskala kecil dan sederhana telah dilaksanakan dan membawa manfaat besar kepada masyarakat sekitar.

Antara lain ialah projek pembinaan Sistem Agihan Air Graviti di Mukim Bunga Raya (Talayon Tanaru) yang melibatkan lima buah kampung dengan jumlah penduduk mencecah 2,000 orang.

Selain itu, DAP Keningau juga berjaya menjalankan beberapa aktiviti dan projek lain seperti berikut:

1)      Pembinaan jambatan dan pemasangan pembentung di lima kampung Mukim Apin-Apin

2)      Menaiktaraf tiga telaga di Kg Toboh Laut

3)      Baikpulih titi gantung Sekolah Kebangsaan Binaong,

4)      Pembinaan pondok kegunaan pelajar Sekolah Kebangsaan Bingkor

5)      Pembinaan Sistem Agihan Air Graviti di Kg Linsosod

6)      Baikpulih jalan Kg Keritan Ulu,

7)      Baikpulih sistem bekalan air graviti di Kg Kitou, Tambunan

8)      Pembinaan dua parit dan pemasangan enam pembentungan untuk mengatasi masalah banjir di Kg Bandukan Baru dan sebagainya. – Roketkini.com