Berita

BN hanya boleh berubah kalau jadi pembangkang – Lim Lip Eng

KUALA LUMPUR, 5 APR: Perubahan terbaik yang seharusnya dilakukan UMNO-Barisan Nasional adalah menjadi pembangkang selepas pilihan raya umum (PRU) akan datang, sekaligus memberi peluang kepada Pakatan Harapan untuk mentadbir negara.

Cadangan sinis ini dibuat Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng sebagai mengulas rayuan Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Mansor (Ku Nan) agar pengundi di Segambut dan Kepong memaafkan kesalahan dan memberi peluang kepada UMNO-BN.

“Tetapi, Ku Nan langsung tidak berani mengakui apakah ‘dosa-dosa’ yang telah dikerjakan BN. Beliau malah gagal memberi penjelasan tentang langkah-langkah yang diambil partinya untuk membersihkan ‘dosa-dosa’ itu.

“Ku Nan sebenarnya telah memberi permohonan maaf secara olok-olok bagi pihak BN dengan harapan supaya orang ramai dapat melupakan dan memaafkan segala kesilapan lampau parti kleptokrat terbabit,” ujar Lip Eng dalam kenyataannya hari ini .

Justeru, beliau yang juga Setiausaha DAP Kuala Lumpur mempersoalkan sama ada pelantikan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri dan membiarkannya terlepas daripada kesalahan skandal 1MDB menjadi kesalahan terbesar UMNO-BN seperti dimaksudkan Ku Nan.

“Kalau dua perkara ini bukan kesilapan, cuba Setiausaha Agung UMNO itu jelaskan kepada rakyat apakah salah silap BN yang dimaksudkannya tempoh hari,” katanya.

Malah, menurutnya, kemenangan 10 kali BN dalam PRU sejak 1974 tidak membawa kemakmuran kepada negara sebaliknya telah membawa kehancuran terhadap tahap ekonomi negara ditambah dengan penyusutan nilai ringgit.

“Manakala, Najib (pula) dipilih sebagai menteri kewangan paling teruk di Asia oleh majalah FinanceAsia,” katanya. – Roketkini.com