Berita

Kahwini perogol tidak selesai masalah, DAP kecam kedangkalan Shabudin Yahya

KUALA LUMPUR, 5 APRIL: Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahya wajar dipecat UMNO ekoran kenyataan kurang sensitifnya berkaitan jenayah rogol.

Ketika mengulas cadangan Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching supaya Rang undang-undang (RUU) Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak dipinda bagi mengharamkan perkahwinan bawah umur, Shabudin mencadangkan agar mangsa rogol berkahwin dengan perogolnya.

“Mungkin dengan sebab perkahwinan itulah mereka dapat melalui satu kehidupan yang lain, yang lebih sihat, yang lebih baik dan seorang isteri yang dirogol tadi, kalau dia dapat berkahwin dia takkan melalui satu jalan kehidupan masa depan yang gelap.

“Sekurang-kurangnya dia ada suami dia, ada orang yang boleh jadi suaminya pada ketika itu. Ini adalah satu remedi kepada masalah sosial yang berlaku,” katanya ketika sesi perbahasan RUU berkenaan di Dewan Rakyat, semalam.

Cadangan itu bagaimanapun mendapat kecaman Wanita DAP, yang mahu Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak mengambil tindakan tegas dengan memecat Shabudin daripada parti Melayu itu.

Menurut Setiausaha Publisiti Wanita DAP, Kasthuri Patto, Shabudin gagal memahami bahawa jenayah rogol bukanlah mengenai masalah untuk mangsa mendapatkan jodoh, sebaliknya pelakuan itu sendiri yang akan memberi kesan yang mendalam terhadap mangsa.

Kenyataan Shabudin itu bersifat misogini (benci wanita) dan terpesong dengan menjadikan perogol seorang wira. Perogol patut dihukum dan tidak patut diraikan lebih-lebih lagi dengan perkahwinan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

“Malah tidakkah Shabudin tahu dengan berkata demikian, perogol bersiri atau sesiapa dengan niat untuk merogol akan memaksa mangsanya untuk berkahwin, semata-mata untuk menutup jenayah mereka,” tambahnya yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan.

Penolong Setiausaha Publisiti Wanita DAP Syerleena Abdul Rashid pula berkata, cadangan Shabudin itu membawa keburukan terhadap psikologi malah menjejaskan pendidikan khususnya mangsa rogol bawah umur.

“Biologi menunjukkan, gadis di bawah umur belum lagi matang daripada segi mental dan fizikal.

“Terdapat beberapa kes, contohnya di Yemen, seorang budak perempuan berumur sembilan tahun mati pada malam pertama (perkahwinan). Akibat rogol atau seks yang keterlaluan oleh suaminya yang berumur dalam lingkungan 40 ke 50-an,” katanya kepada Roketkini.

Malah, katanya yang juga Ahli Majlis di Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), kahwin paksa, selain menjadi mimpi ngeri terhadap mangsa rogol, adalah bertentangan dengan nilai agama serta melanggar hak asasi manusia.

“Dalam hal ini tiada satu pun agama yang menyokong cadangan yang memudaratkan insan. Perkahwinan bawah umur adalah amalan tradisi, amalan budaya, tidak ada kena-mengena dengan agama,” katanya.

RUU Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak bertujuan untuk melindungi mereka di bawah umur 18 tahun diluluskan sebulat suara setelah dibahas hampir enam jam di Dewan Rakyat, semalam.

Ia bagaimanapun membangkitkan kebimbangan pemimpin pembangkang mengenai keberkesanan undang-undang itu kerana perkahwinan kanak-kanak masih dibenarkan. – Roketkini.com