Rencana

Perkahwinan bawah umur bukan jalan keluar buat mangsa rogol

Kenyataan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shahbudin Yahaya mengatakan tidak salah untuk gadis berumur di bawah 16 tahun berkahwin dengan orang yang merogolnya. Beliau juga meminta pertimbangan untuk membenarkan gadis di bawah umur 16 tahun untuk berkahwin kerana membawa lebih nilai positif. Beliau juga berkata lebih selamat gadis-gadis ini dikahwinkan dari dibiarkan kerana mereka sukar dikawal keluarga.

Beliau juga berkata seorang gadis ini kematangannya pada akil baligh, ada seawal 9 tahun. Beliau berpendapat fizikal tubuh badan untuk menentukan samada seorang gadis itu boleh berkahwin ataupun tidak. Asal akil baligh, boleh kahwin kerana pada pendapat beliau fizikal dan spiritual mereka sudah bersedia oleh itu umur bukan halangan untuk berkahwin.

Saya berasa amat kecewa dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau kerana malangnya ini juga memaparkan set minda sesetengah masyarakat di negara ini. Ada yang merasakan apa yang dikatakan oleh beliau adalah norma masyarakat. Walaubagaimanapun, ini seharusnya menjadi tugas pemimpin seperti ahli parlimen untuk mengubah set minda sebegini.

Perkahwinan tidak seharusnya dijadikan sebagai jalan keluar untuk perogol kanak-kanak bawah umur untuk melepaskan dirinya dari kesalahan jenayah. Perkahwinan juga bukan penyelesaian kepada masalah kanak-kanak liar ataupun bermasalah sosial. Ibubapa juga harus diberikan kesedaran tentang impak perkahwinan tersebut.

Perkahwinan bawah umur atau perkahwinan kanak-kanak ini membawa lebih banyak kesan negatif. UNICEF mendapati kebanyakan kanak-kanak yang berkahwin di bawah umur 18 tahun akan meninggalkan persekolahan formal dan cenderung menghadapi keganasan domestik. Kanak-kanak ini juga akan menghadapi masalah kesihatan yang teruk apabila mereka menghadapi komplikasi semasa hamil dan melahirkan anak.

Data dari UNICEF pada 2009 juga menunjukkan 70,000 kematian gadis berumur 15-19 disebabkan kehamilan dan kelahiran anak di bawah umur. Sekiranya ibunya masih terlalu muda, bayi tersebut juga akan menghadapai komplikasi kesihatan.

Perkahwinan awal sebegini juga akan menambahkan beban tanggungjawab kepada gadis-gadis tersebut walhal mereka sepatutnya ke sekolah, menimba ilmu dan pengetahuan sebelum bersedia untuk mendirikan rumahtangga. Perkahwinan ini menggalakan diskriminasi gender dan penghamilan premature. Pertumbuhan fizikal dan mental kanak-kanak ini pastinya terganggu.

Saya juga berasa amat bimbang dengan kenyataan beliau yang menitikberatkan soal fizikal kanak-kanak sehingga boleh dikahwinkan walaupun berusia 9 tahun. Saya berasa ini adalah sangat jijik. Di masa kita sedang memerangi keganasan seksual kanak-kanak, kita ada ahli parlimen yang merasakan kanak-kanak 9 tahun sudah cukup baligh untuk berkahwin kerana sosok tubuh badan mereka. Beliau bukannya memfikirkan keadaan dan persediaan hidup kanak-kanak tersebut dari segi mental, persekolahan dan tanggungjawab yang akan dipikul oleh kanak-kanak tersebut, tetapi lebih memfikirkan sosok fizikal.

Tugas pemimpin adalah untuk memperkasakan kanak-kanak, anak gadis dan wanita dengan memastikan mereka menerima pendidikan dan perlindungan yang secukupnya dan seterusnya akan memastikan kesejahteraan hidup mereka sebagai warganegara Malaysia. Tugas pemimpin bukannya dengan mengambil jalan mudah untuk menyelesaikan masalah sebegini yang nyatanya membawa lebih banyak keburukkan.

Saya juga menyeru kepada semua wanita mahupun kanak-kanak dan dewasa untuk menolak kenyataaan Datuk Shahbudin dan berdiri untuk memperjuangkan hak wanita dan kanak-kanak dari terus dicemarkan oleh set minda misoginistik di Dewan Rakyat, di media sosial dan di seluruh negara. Saya juga menyeru kepada semua sayap Wanita dan Puteri setiap parti politik terutamanya Wanita UMNO dan Puteri UMNO untuk menolak sekeras-kerasnya kenyataan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shahbudin Yahaya.

Kita harus melindungi kanak-kanak perempuan dan wanita dari terus dibelenggu masalah sebegini. Tindakan yang lebih intensif dan mapan dari semua lapisan masyarakat dapat menyelamatkan lebih banyak kanak-kanak perempuan dan wanita dari kemudaratan jangka panjang yang boleh dielakkan. -Roketkini.com