Rencana

Perogol patut ke penjara, bukan jinjang pelamin

Kepada Yang Berhormat Shabudin Yahya, Ahli Parlimen Tasek Gelugor dari parti Barisan Nasional (BN).

Sila fahami kata-kata saya: Rogol itu jenayah. Dan jenayah itu patut dihukum dengan setimpalnya, bukan diberi ganjaran.

Saya berasa amat jijik dengan kenyataan Shabudin Yahya bahawa kahwin selepas rogol boleh mengubati masalah sosial. Ternyata bahawa dia tidak memahami langsung apakah itu rogol, ataupun beliau mungkin tidak ada sifat kemanusiaan kerana menyuarakan pendapat sebegitu.

Biar saya gambarkan sebuah babak rogol untuk Yang Berhormat:

Seorang jurukamera bebas telah menjadi guru kepada kanak-kanak yang berasal dari komuniti miskin tegar. Dia dianggap sebagai seorang yang filantropis dan ikhlas.

Namun begitu, guru itu sebenarnya adalah seorang pedofil dan pencabul seksual. Dalam postingnya sendiri di forum dark web bersama pedofil-pedofil lain, dia telah merogol seorang kanak-kanak perempuan sejak kanak-kanak itu berumur 7 tahun. 3 adik-beradik kanak-kanak itu juga tidak terlepas dari cengkamannya.

Lebih menjijikkan lagi, guru itu juga menyatakan rancangannya untuk memupuk kanak-kanak itu supaya menjadi seorang “isteri yang sempurna”. Selepas perkahwinan, dia berhasrat untuk menjadi bapa angkat supaya dia boleh mencabuli kanak-kanak yang lain.

Disebabkan kelonggaran undang-undang di Malaysia berhubung jenayah seksual terhadap kanak-kanak, guru ini telah mencabul hampir 200 kanak-kanak daripada komuniti miskin tegar.

Nama pedofil ini mungkin pernah kamu dengar. Namanya Richard Huckle.

Apabila skandal Richard Huckle dilaporkan dalam berita tahun lepas, warga Malaysia telah sebulat suara mengecam tindakannya. Untuk peringatan tuan-tuan dan puan-puan, antara mangsa-mangsa Huckle termasuklah seorang bayi yang berumur 6 bulan!

Ya, kita marah sangat dengan Richard Huckle. Dan tiada antara kita – biarpun Ahli Parlimen Tasek Gelugor dari BN – yang meminta Richard Huckle untuk mengahwini mangsa-mangsa rogolnya. Kita semua sedar bahawa suatu kekejaman yang tidak terhingga telah diperlakukan atas kanak-kanak yang tak berdosa.

Oleh sebab itu, Shabudin Yahya dan BN, jangan kamu berani berselindung di sebalik agama atau memutarbelitkan fakta untuk memomokkan kami yang ingin menghentikan perkahwinan kanak-kanak sebagai menentang Islam ataupun Mahkamah Syariah. Perbahasan ini tiada kaitan dengan agama, ia mengenai keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak di Malaysia.

Yang Berhormat, saya nak tegaskan bahawa kanak-kanak perempuan ataupun wanita yang dirogol tidak langsung kehilangan maruahnya. Yang bersalah dan tiada maruah itu perogol, bukan pihak yang dikejami.

Saya juga ingin tegaskan bahawa masa depan seorang wanita tidaklah segelap mana sekiranya tidak bersuami. Selain itu, perkahwinan itu sepatutnya membawa kebahagiaan, bukan menjadi hukuman seumur hidup.

Apakah itu masa depan yang gelap? Masa depan yang gelap bermulalah apabila seorang kanak-kanak berani melaporkan bahawa dia dicabuli, dan bertemu pula dengan seorang hakim yang berpendapat seperti Shabudin Yahya yang menyuruhnya untuk mengahwini perogolnya.

Masa depan yang gelap itulah apabila kamu hamil disebabkan rogol, walaupun baru berumur 9 tahun dan badanmu tidak berdaya untuk melahirkan seorang anak, apabila kamu terpaksa berhenti sekolah dan bergantung hidup sepenuhnya kepada seorang yang telah mengejami dirimu. Itulah masa depan yang gelap.

Saya bukannya bersikap dramatis – data dan statistik menceritakan kebenarannya: kadar kematian kanak-kanak perempuan yang melahirkan anak semasa berumur 15 – 19 tahun adalah 2 kali lebih tinggi daripada perempuan yang berusia 20 – 24 tahun.

Sekiranya Ahli Parlimen BN itu beria-ia ingin menyelesaikan masalah sosial seperti anak luar nikah dan pembuangan bayi, saya mencadangkan agar Yang Berhormat membawa usul mencadangkan agar pendidikan seks yang holistik diwajibkan di sekolah-sekolah ke persidangan Dewan Rakyat yang seterusnya.

Pendidikan seks yang saya maksudkan itu bukan tantric sex ataupun kelas di mana guru sekadar mengimbas fakta-fakta biologi sementara budak tersengih-sengih dengan perkataan seperti “angry bird”. Yang saya maksudkan adalah pendidikan tentang kesihatan reproduktif, cara membezakan sentuhan yang normal (seperti pelukan ibu bapa) dengan yang abnormal, dan memperkasakan kanak-kanak supaya mereka berani melaporkan sekiranya seorang dewasa berkelakuan abnormal dengan mereka.

Ya, saya tidak menganggap diri saya sebagai Tuhan. Saya tidak dapat mengenal pasti siapa yang benar-benar bertaubat atau tidak. Tapi saya nak tegaskan sekali lagi: rogol itu jenayah. Dan jenayah itu patut dijatuhkan dengan hukuman yang setimpalnya, bukan diberi ganjaran. Kalau Shabudin Yahya pentingkan taubat, biarlah perogol bertaubat dalam penjara, bukan memberinya peluang untuk mengejami mangsanya seumur hidup.

Dan kepada pengundi-pengundi Tasek Gelugor, terutamanya kaum wanita dan ibu-ibu, fikirkanlah masak-masak sama ada kamu mahu seorang yang tidak berperikemanusiaan seperti Yang Berhormat Shabudin Yahya untuk mewakili kamu di Dewan Rakyat yang mulia ini.

Kalau beliau tidak bertaubat dari pemikirannya yang langsung tidak berempati, saya cadangkan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14, undi beliau keluar dari Tasek Gelugor supaya beliau mempunyai 5 tahun untuk berbuat begitu.

*Lim Yi Wei adalah Ahli Majlis di Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) merangkap Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua.