Berita

Suruh calon temuduga buka baju, DAP gesa pihak berkuasa siasat Malindo Air

KUALA LUMPUR, 5 APRIL: Tindakan pegawai Malindo Air mengarahkan calon temuduga membuka pakaian semasa sesi temuduga pada 11 Mac lalu harus disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching berkata, ia jelas menceroboh privasi calon temuduga terbabit dengan niat untuk mengaibkan.

“Jika mereka nak tahu sangat sama ada calon itu ada apa-apa tanda di badan kerana kononnya kain yang digunakan petugas Malindo jenis jarang, mereka (pihak Malindo Air) patut terus tanya (calon).

“Jika calon berkenaan terbukti tidak memberikan jawapan yang jujur, pihak pengurusan boleh sahaja memecat mereka. Kenapa perlu suruh mereka buka baju?” soalnya dalam kenyataan, hari ini.

Pengarah Perhubungan Awam dan Komunikasi Malindo Air, Raja Sa’adi Raja Amri seperti dilaporkan Malay Mail Online hari ini mempertahankan tindakan pihaknya meminta calon pramugari yang berpotensi untuk mendedahkan bahagian dada kepada penemuduga.

Dia turut menafikan dakwaan para pengadu disuruh supaya menanggalkan baju berserta coli.

Raja Sa’adi dipetik laman portal itu menjelaskan permintaan itu kononnya dibuat bagi memeriksa jika calon mempunyai apa-apa tanda di bahagian badan mereka kerana sebahagian pakaian seragam Malindo agak jarang.

Mengulas lanjut, Nie Ching yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP menegaskan bahawa pramugari memberikan perkhidmatan kepada pelangan sesuai dengan kehendak tugas dan bukannya menjual tubuh badan mereka.

“Malindo harus memohon maaf kepada semua calon (temuduga berkenaan) dan semua wanita di Malaysia,” ujarnya. – Roketkini.com