Berita

Kenapa perlu tergesa-gesa sehingga semua usul penting lain ditolak?

KUALA LUMPUR, 6 APR: Semua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang menentang RUU355 harus menjelaskan sebab di sebalik tindakan Kerajaan Persekutuan dan Speaker Dewan Rakyat membenarkan usul itu dibentangkan dalam persidangan hari ini.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua Kiam Wee berkata, ini kerana banyak lagi usul kerajaan yang dianggap penting ditangguh pembentangannya, semata-mata untuk memberi laluan kepada usul persendirian Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu.

“Kerajaan, Presiden MCA, Presiden Gerakan, Presiden MIC dan semua Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak perlu menjawab, apa yang terlalu mustahak sehingga usul itu diberi laluan berbanding usul-usul penting yang lain.

“Soalan ini harus dijawab oleh Perdana Menteri dan pemimpin komponen parti BN, tak ada makna kalau mereka kata tak akan bentang usul itu, sedangkan mereka membenarkan ia dibahaskan di Parlimen” kata Tony Pua di lobi Parlimen, sebentar tadi.

Seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 29 Mac lalu, BN mengambil keputusan untuk tidak membentangkan RUU 355 kerana kononnya menghormati konsesus bersama parti komponen.

Bagaimanapun, Hadi Awang yang juga Ahli Parlimen Marang tetap dibenarkan untuk membentangkan RUU355 atau usul meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Akta 355) buat kali ketiga selepas dua kali ditangguhkan.

DAP sebelum ini telah berkali-kali menegaskan bahawa RUU355 adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, Tony Pua yang juga Setiausaha Publisiti DAP berkata, RUU355 digunakan sebagai alat politik UMNO-BN untuk menutup pelbagai skandal seperti 1MDB yang melibatkan Najib Razak.

“(RUU355) digunakan sebagai muslihat politik untuk mengalih perhatian rakyat Malaysia daripada jenayah yang didakwa telah dilakukan oleh Perdana Menteri dengan hakikat bahawa Perdana Menteri telah didakwa mencuri berbilion ringgit daripada 1MDB,” ujarnya. – Roketkini.com