Berita

Seperti dijangka, Pandikar cabut lari setelah hentikan perbahasan RUU355

KUALA LUMPUR, 6 APRIL: Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menangguhkan perbahasan mengenai pindaan usul persendirian pindaan RUU355.

Usul tersebut tidak dibuka kepada perbahasan selepas ia dibentangkan oleh Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan ucapan oleh Ahli Parlimen Kota Bahru Datuk Taqiyuddin Hasan.

Sebelum menangguhkan Sidang Dewan Rakyat, Pandikar memetik ‘kata-kata hikmat’ dari seseorang yang tidak dinamakannya.

“Saya ingin kongsikan satu kata-kata hikmat yang terpahat di fikiran saya sampai sekarang, if you are in power, you are powerful, if you don’t use your power, your are a bloody fool. (jika kamu ada kuasa, kamu berkuasa, jika kamu tidak gunakan kuasa yang ada pada kamu, kamu bodoh)

“Pada hari ini saya tak mahu menjadi bloody fool. Saya nak gunakan kuasa saya dengan membuat ketetapan supaya perbahasan (meminda Akta 355) diadakan pada sesi akan datang,” katanya.

Penangguhan perbahasan RUU355 itu dibacakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Sri Azalina Osman Said sehingga ke satu tarikh yang tidak ditetapkan.

Dewan Rakyat bertukar menjadi kecoh seketika apabila Ahli-Ahli Parlimen bangun membantah penangguhan  perbahasan  usul kontroversi Presiden PAS itu ditangguhkan kira-kira jam empat petang tadi.

Bagaimana pun semalam, Dewan Rakyat mencipta sejarah apabila perbahasan berlangsung hampir 20 jam dan berakhir sekitar jam lima pagi. –Roketkini.com