Berita

Tangguh bahas RUU355: UMNO-PAS manipulasi Parlimen demi kepentingan politik

KUALA LUMPUR, 6 APR: UMNO dan PAS didakwa memanipulasi Parlimen secara terancang bagi tujuan politik.

Kesal dengan perkara itu, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, prosedur Dewan Rakyat tidak harus dipermainkan.

“Nampaknya satu mainan politik yang memainkan jiwa rakyat. Tak pernah berlaku dalam Parlimen satu isu ditangguhkan sungguhpun ada masa.

“Saya rasa perkara ini boleh dijawab oleh Barisan Nasional (BN) ikut rentak masing-masing. MCA, MIC, Gerakan masing-masing ada jawapan mereka. UMNO ada jawapannya, semua ada jawapannya.

“Adakah (keadaan) ini mencapai hasrat mana-mana pihak? Saya rasa rakyat tahu apakah jawapannya. Pakatan Harapan akan terus bersama memberi tumpuan kepada isu utama iaitu skandal 1MDB dan skandal-skandal lain,” kata Setiausaha Agung DAP itu di lobi Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Bandar Kuching, Chong Chieng Jen pula berkata, strategi sekutu itu bermula apabila Menteri BN dalam sidang Dewan Rakyat semalam menangguhkan sesi mesyuarat yang berlarutan sehingga 5.00 pagi hari ini.

Ia disusuli dengan kebenaran Speaker Dewan Rakyat untuk usul persendirian Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dikenali sebagai RUU355 dibentangkan dan disokong dalam sidang hari ini, jelas Chieng Jen.

“Selepas ia dibentang dan disokong, Speaker dengan tidak semena-mena menangguhkan mesyuarat tanpa memberi peluang kepada Ahli Parlimen pembangkang untuk menyatakan pandangan dalam mesyuarat tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tan Sri Pandikar Amin Mulia menangguhkan perbahasan mengenai usul RUU355 atau usul meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Akta 355) ke sesi mesyuarat yang seterusnya.

Mengulas lanjut, menurut Chieng Jen yang juga Naib Pengerusi DAP, manipulasi dan permainan isu agama oleh UMNO dan PAS ini jelas menunjukkan bahawa parti selain UMNO dalam BN tidak relevan dalam proses membuat keputusan.

Justeru, beliau menggesa agar parti komponen BN selain UMNO memikirkan semula kedudukan dan tugas mereka dalam kerajaan.

“Rakyat tidak harus berterusan diperbodohkan dengan kononnya konsep ‘perkongsian kuasa’ BN.” ujarnya.

Kerana Pandikar, Parlimen jadi sarkas

Dalam pada itu, Naib Pengerusi DAP, Senator Dr. Ariffin Omar ketika dihubungi Roketkini berkata, keputusan Speaker menangguhkan perbahasan RUU355 menunjukkan bahawa Parlimen diturunkan nilainya ke tahap sarkas.

“Apa yang dibuat Pandikar adalah tidak boleh diterima dan menyimpang daripada norma.

“Saya merasakan reputasi Parlimen telah tercalar dan rakyat Malaysia betul apabila mengatakan bahawa Parlimen kini tidak lagi relevan dalam mengangkat isu yang melanda negara,” ujarnya.

Malah, kata Ariffin, Parlimen juga dilihat seolah-olah menjadi alat bagi orang kepentingan dalam kerajaan untuk memuaskan nafsu politik mereka. – Roketkini.com