Berita

Teresa fail saman fitnah terhadap Jamal

KUALA LUMPUR, 6 APRIL: Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim hari ini memfailkan saman terhadap Ketua Baju Merah, Datuk Seri Jamal Yunos yang didakwa memfitnah beliau berhubung dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).

Saman difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bersama peguam yang mewakili Teresa, Sankara Nair.

Menurut Teresa, fitnah jahat yang dilemparkan Jamal terhadapnya merupakan tindakan untuk menjatuhkan imej dan perkhidmatannya sebagai Ahli Parlimen.

“Saya failkan saman terhadap Jamal Yunos kerana membuat tuduhan fitnah terhadap saya dengan mendakwa saya menerima kad ATM SMUE kerajaan Selangor untuk mengeluarkan wang dari akaun bank kerajaan negeri.

“Akibat fitnah itu, baru-baru ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah datang ke pejabat saya dan mengambil semua fail SMUE,” katanya kepada pemberita.

Dalam laporan sebelum ini, Jamal dilapor media mendakwa kononnya sebanyak RM2 juta di bawah program Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) diselewengkan.

Ekoran fitnah itu, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Seputeh telahi diserbu beberapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Teresa sebelum ini dilaporkan berkata, semua rekod pemberian wang bantuan kepada waris melalui skim SMUE adalah mengikut prosedur.

Justeru, tidak timbul isu penyelewengan malahan rekod pemberian wang bantuan tersebutberkenaan turut disimpan itu disimpan oleh pejabat Daerah.

“Saya tidak pernah melakukan apa-apa penyelewengan dari segi pemberian wang ehsan. Pejabat Daerah Petaling mempunyai semua rekod penerima wang SMUE.

“Tuduhan palsu dan fitnah yang dilemparkan Jamal terhadap saya dan rakan-rakan parti pembangkang memang menunjukkan beliau telah bankrap dari segi idea dan isu politik terhadap kami,” ujarnya