Berita

Jangan terperangkap polemik usul Hadi, fokus masalah utama negara – Dr Abdul Aziz Bari

KUALA LUMPUR, 7 APRIL: Kontroversi yang timbul ekoran usul persendirian Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang melibatkan pindaan Akta 355 atau rang undang-undang (RUU) 355 dicipta untuk mengalih perhatian rakyat dari isu sebenar yang melanda negara.

Demikian pandangan tokoh perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari yang menyifatkan polemik RUU355 sebagai konflik antara demokrasi dan kleptokrasi.

“Majoriti umat Islam sendiri tak faham isu sebenar termasuk mereka yang diusung dan dibawa berdemonstrasi.

“Tetapi ia sangat emotif sengaja dicipta untuk memainkan semangat dan sentimen umat Islam yang cintakan agama mereka sedangkan ia bukan isu pokok,” katanya ketika dihubungi Roketkini.

Malah, beliau berpandangan, isu yang diperbesar-besarkan PAS dengan dokongan senyap dari UMNO itu menyebabkan perpecahan dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya umat Islam sendiri dengan gejala perpuakan.

“Hatta dalam soal bidangkuasa pun, apa yang dikemukakan tidak dibenarkan dibincang dan UMNO sendiri enggan mengemukakan pindaan berkenaan kerana takut hilang sokongan bukan Islam khususnya di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Dalam perkara berkaitan, Ahli Jawatankuasa DAP Selangor itu menjelaskan usaha meningkatkan dan memperkasa Mahkamah Syariah bukan sekadar menaikkan kuasa menghukum sebaliknya perlu mampu menangani isu utama dan kritikal dalam kalangan umat Islam.

“Sepatutnya ia menangani isu yang lebih utama dan kritikal khususnya meningkatkan kemampuan kakitangan dan kebajikan mereka.

“Kita tahu di setengah negeri, peguam bukan muslim masih tidak dibenarkan untuk beramal di mahkamah syariah sedangkan Islam itu sendiri universal dan mengutamakan keadilan,” ujar Dr Aziz.

Setiap orang perlu ambil peduli soal keadilan

Menjawab dakwaan PAS bahawa orang bukan Islam harus berdiam diri berhubung RUU355 tersebut, Dr Aziz menjelaskan ia tidak wajar kerana isu keadilan merupakan isu semua orang.

“Bukan muslim juga prihatin kepada kedudukan orang Islam, lagipun Mahkamah Syariah adalah insitusi awam yang dibiayai oleh pembayar cukai yang merangkum orang bukan Islam. PAS tidak harus meminta bukan Islam supaya menutup mulut.

“Pokoknya, isu berhubung RUU355 bukan isu mengenai akidah atau hukum kerana ia adalah soal pelaksanaan Islam dan orang bukan Islam sebagai rakyat dan pembayar cukai perlu ambil tahu dan prihatin sama,” ujar beliau.

Dr Aziz juga menegaskan bahawa PAS dan pengikutnya tidak harus mengugut orang Islam yang mengkritik RUU355 atas alasan kononnya boleh menjejaskan akidah atau keislaman.

“RUU355 adalah isu politik atau isu pentadbiran yang umat Islam dibenarkan berbeza pandangan. Ertinya UMNO dan PAS tidak boleh melabel mereka yang kritikal kepada RUU ini sebagai menentang Islam dan seumpamanya,” katanya lagi. -Roketkini.com