Berita

Pertandingan esei “Adakah Pandikar seorang bloody fool?” tawar hadiah RM2000

KUALA LUMPUR, 7 APR: Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng hari ini mengumumkan pertandingan menulis esei atau cerpen bertajuk “Adakah Pandikar seorang bloody fool” ekoran tindakan Speaker itu menafikan hak ahli Parlimen mambahaskan usul rang undang-undang (RUU) 355 semalam.

Menurut Lip Eng, pemenang bagi pertandingan menulis itu akan memenangi wang tunai sebanyak RM2,000 sumbangan dirinya dan Ahli Parlimen Ipoh Timur Thomas Su.

“Memandangkan Pandikar telah menafikan hak ahli-ahli Parlimen untuk membahaskan betul-salah usul RUU355, saya ingin mengundang semua rakyat Malaysia yang cintakan negara untuk menghantar cerpen atau esei ke laman Facebook rasmi saya dengan tajuk ‘Adakah Pandikar seorang bloody fool? (Is Pandikar a bloody fool?)’.

“Tulisan paling cemerlang menggambarkan tingkah laku Pandikar akan dipilih oleh saya dan rakan-rakan ahli Parlimen DAP.

“Pandikar menjelaskan bahawa tindakan menangguhkan perbahasan tersebut adalah kerana beliau tidak mahu menjadi seorang ‘bloody fool’,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Pandikar bertindak menangguhkan perbahasan usul Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi meminda Akta 355, ke sidang seterusnya yang bakal berlangsung antara Julai hingga Ogos.

Sedangkan, malam sebelumnya lima RUU kerajaan telah ditarik balik termasuk RUU bagi meminda Akta Keganasan Rumahtangga.

Tindakan tidak rasional itu walaupun dirancang BN kata Lip Eng yang juga Setiausaha DAP Kuala Lumpur adalah suatu penghinaan kepada tugas dan tanggungjawab Speaker – orang nombor tiga paling berkuasa dalam kerajaan Persekutuan.

“Ini merupakan kali ketiga Pandikar membiarkan wayang Haji Hadi dipentaskan di Dewan Rakyat selain membazirkan masa dan tenaga semua orang,” katanya lagi. -Roketkini.com