Berita

Usul Hadi: ‘Sandiwara yang telah disempurnakan skripnya’

KUALA LUMPUR, 7 APRIL: Drama di Parlimen petang semalam jelas menunjukkan jawatan Speaker diperalat demi kepentingan politik terdesak yang telah menjatuhkan kredibiliti dan institusi Parlimen.

Ia ekoran usul persendirian Hadi berkenaan RUU355 tidak dibahas walaupun Speaker memiliki kuasa penuh untuk meneruskan perbahasan.

Integriti jawatan Speaker dilihat telah menjadi ‘korban’ kepada politik terdesak UMNO menjerat pengikut barunya, PAS demi mengekalkan kuasa mereka.

Malang lagi sekiranya UMNO dan PAS senyap-senyap menjalinkan hubungan sulit memperalatkan RUU355 sebagai senjata politik bagi melemahkan pakatan pembangkang.

“Isu RUU 355 ini terbukti sebuah sandiwara yang telah disempurnakan skripnya.

“Begitulah hinanya satu RUU yang dikatakan memartabat bidang kuasa Mahkamah Syariah diperlakukan semahu-mahunya dalam Parlimen kita,” kata Timbalan Presiden Amanah, Salahudin Ayub dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, tindakan Speaker memberhentikan perbahasan semalam jelas menjatuhkan kredibilitinya sendiri.

“Parlimen adalah tempat untuk membahas dan melulus sesuatu rang undang-undang bukan medan permainan politik untuk mencapai agenda pihak berkuasa.

“Jawatan Speaker sepatutnya diselamatkan dari diperalatkan sebegitu rupa.

Salahudin menjelaskan, Parlimen sepatutnya menjadi ruang untuk membahaskan segala isu, usul dan masalah di negara ini.

“Tidak mengira samada isu seekor haiwan yang perlu dilindungi atau isu urusan agama yang dimuliakan semestinya semua pihak diberikan ruang yang saksama untuk membahasnya.

“Sikap adil dan bijaksana seorang Speaker yang terhormat amat perlu untuk mengendalikanya di dalam dewan yang mulia.

“Sekiranya kita hanya mengikut arahan untuk  menggunakan kuasa, ianya juga boleh dianggap bloody fool,” ujarnya. -Roketkini.com