Berita

Cukai kenderaan naik 5 peratus, BN khianati janji pilihanraya

IPOH, 8 APRIL: Kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN) sekali lagi memungkiri manifesto pilihan rayanya apabila duti eksais bagi kenderaan pelbagai guna (MPV) telah dinaikkan sebanyak lima peratus menjadikannya 65 peratus bermula 1 April 2017.

Sedangkan, dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lalu, UMNO-Barisan Nasional (BN) berjanji mahu mengurangkan harga kenderaan kepada 30 peratus.

Akibat kenaikan itu, antara kenderaan yang terjejas ialah Perodua Alza, Proton Ertiga, Toyota Avanza, Honda BR-V dan Toyota Sienta.

Menurut Ketua Biro Publisiti DAP Perak, Chong Zhemin, pengeluar kereta dijangka memindahkan beban kenaikan cukai lima peratus tersebut kepada pembeli sekaligus melonjakkan harga kenderaan.

“Dijangkakan pengeluar kereta akan memindahkan peningkatan dalam duti eksais kepada pelanggan, dan ini akan membuatkan kenderaan menjadi lebih mahal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, sejak tahun 2013, harga kereta telahpun dinaikkan sekurang-kurangnya dua kali oleh pengeluar akibat nilai ringgit yang lemah.

“BN bukan sahaja gagal merangka dasar untuk kurangkan harga kereta, mereka juga gagal untuk meneutralkan kesan susut nilai ringgit yang menyebabkan kenaikan harga kereta,” katanya lagi. -Roketkini.com