Berita

“Idea jadi Perdana Menteri tidak pernah terlintas di fikiran saya” – Kit Siang

KUALA LUMPUR, 9 APR: “Idea untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia tidak pernah terlintas di fikiran saya, walaupun Perlembagaan Malaysia membenarkan mana-mana rakyat Malaysia menjadi Perdana Menteri.”

Demikian yang ditegaskan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dalam kenyataannya hari ini bagi menjawab dakwaan dan tohmahan jahat yang bertubi-tubi dilemparkan UMNO terhadapnya.

Baginya, DAP menyertai politik bukanlah untuk mendapatkan sebarang habuan, sebaliknya berusaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih bersatu padu, demokratik, adil, progresif dan makmur.

Selain dituduh ingin menjadi Perdana Menteri, Kit Siang juga dituduh oleh UMNO kononnya menginginkan jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Kit Siang difitnah mengadakan mesyuarat sulit dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi melantik dirinya (Kit Siang) sebagai Timbalan Perdana Menteri selepas Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Ini adalah fitnah. Saya tidak bertemu dengan Mahathir dalam mesyuarat sulit pada 3 Disember tahun lalu, dan dalam pelbagai mesyuarat saya bersama beliau, kami tidak pernah membincangkan subjek mengenai Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri,” ujarnya.

Serangan berniat jahat ini, menurut Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah, dilemparkan bukan terhadap DAP dan pemimpinnya semata-mata, sebaliknya terhadap Pakatan Harapan secara keseluruhannya.

Tambah beliau, ini dilakukan UMNO kerana parti perkauman itu bimbang ditewaskan oleh Pakatan Harapan dalam PRU-14.

“Pemimpin UMNO-Barisan Nasional (BN) telah menakut-nakutkan pengundi Melayu dengan mendakwa bahawa kononnya undi terhadap Pakatan Harapan akan menjadi undi kepada DAP dan seterusnya undi kepada Cina menentang Melayu.

“Ia satu usaha menyedihkan dan mengejutkan dalam politik pembohongan, kebencian dan ketakutan kerana kepimpinan UMNO sedar mereka telah kehilangan sokongan popular orang Melayu,” katanya.

Kit Siang turut menegaskan bahawa DAP bukanlah parti milik kaum Cina seperti yang dituduh UMNO, sebaliknya DAP adalah parti untuk semua rakyat Malaysia yang bersikap patriotik tanpa mengira kaum, agama dan wilayah.

“PRU-14 nanti bukanlah pertembungan antara DAP dan UMNO, tetapi pertembungan Pakatan Harapan dan BN. Malah, jika UMNO kalah, Perdana Menteri tetap orang Melayu,” tegasnya.

PRU akan datang juga, katanya, menjadi penentu sama ada Malaysia akan kekal sebagai sebuah negara demokrasi atau sebuah negara kleptokrasi dan gagal. – Roketkini.com