Berita

60 tahun tidak pernah ada kes hilang sebegini di Malaysia – Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR, 10 APR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi digesa mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar bagi membincangkan kes kehilangan berprofil tinggi melibatkan lima individu baru-baru ini.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang membuat gesaan itu dengan merujuk kes kehilangan membabitkan Pengasas Perlis HOPE, Amri Che Mat; Paderi Joshua Hilmy dan isterinya Ruth; Paderi Raymond Koh; dan terbaru bekas Ahli Majlis di Majlis Perbandaran Petaling Jaya, Peter Chong.

“Kehilangan seperti ini tidak pernah berlaku di negara ini dalam tempoh enam puluh tahun yang lalu. Apa sudah jadi kepada Malaysia dan kenapa kehilangan tersebut berlaku sekarang?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah, kes kehilangan seumpama itu menunjukkan tanda-tanda bahawa Malaysia sedang menuju ke arah ‘negara penyangak’.

“Pihak polis tidak dapat menjelaskan mengenai kehilangan lima individu terbabit, membangkitkan persoalan sama ada Malaysia kini sedang menuju ke arah negara penyangak,” ujarnya.

Peter Chong yang juga bekas pembantu kepada Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa dilaporkan hilang sejak Rabu minggu lalu.

Sebelum kehilangannya, Chong, melalui kemas kini status di laman sosial Facebooknya pada 31 Mac 2017, menceritakan mengenai ‘pengalaman ganjil’ didatangi orang yang tidak dikenali yang memberi amaran kepadanya.

“Dia kata dia sokong apa saya lakukan (hadir acara ‘vigil’ Pastor Koh), tapi ‘mahu hati-hati’…sekarang banyak orang tiba-tiba hilang. Mereka semua tahu mana orang tinggal.

“Saya tanya mereka itu siapa? Dia cuma kata, pandai-pandai la…jaga diri bos..dan pergi meninggalkan saya,” coret Chong dalam status terakhir di Facebooknya. – Roketkini.com