Berita

PAS menyimpang dari matlamat selamatkan Malaysia

KLUANG, 10 APRIL: Komitmen PAS terhadap perjuangan menentang rasuah, salah guna kuasa dan membela rakyat kini boleh dipertikai ekoran tindak-tanduk parti itu yang semakin akrab dengan UMNO-Barisan Nasional (BN).

Ia ekoran kenyataan Naib Presiden PAS, Idris Ahmad yang berhasrat mahu bertanding di 80 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 termasuk kerusi-kerusi DAP, PKR dan Amanah.

Menurut Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Omar Ali, jika hasrat PAS itu direalisasikan, ia hanya akan memberi laluan mudah kepada UMNO-BN untuk mengekalkan kuasa.

“Hal ini memberi isyarat bahawa Pakatan Harapan yang terdiri dari DAP, PKR dan Amanah bakal menghadapi keadaan sukar berikutan ancaman tradisi UMNO-BN dan kali ini termasuklah PAS dalam pilihan raya yang akan datang ini.

“Ia akan memberi laluan sukar kepada rakyat yang mahukan reformasi direalisasikan pada PRU akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun kata Sheikh Omar, Pakatan Harapan akan terus konsisten menjadi pesaing kuat kepada UMNO-BN dengan mengangkat isu-isu mendasar dan kritikal.

“Rakyat sedang terhimpit berikutan kos sara hidup yang amat tinggi. Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang membebankan, kenaikan harga bahan api dan pelbagai skandal yang dipalitkan dalam urustadbir negara telah menyebabkan rakyat tertekan.

“Dasar-dasar yang tidak menyebelahi rakyat yang diutarakan oleh kerajaan hari ini memberi petanda jelas bahawa reformasi secara besar-besaran perlu dilakukan dalam sistem urus tadbir negara,” kata beliau.

Semalam, Idris sewaktu Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan di Cyberjaya berkata PAS mahu bertanding di 80 kerusi parlimen.

Idris juga menyebut bahawa antara kerusi yang mahu ditandingi termasuklah parlimen Lembah Pantai yang pada masa ini disandang oleh Nurul Izzah dari PKR.

Ia termasuk kemungkinan meletakkan calon-calon PAS di kerusi-kerusi lain yang ditandingi Amanah dan DAP.

Pada 8 April baru-baru ini pula, Pemuda PAS Johor dalam Muktamar Tahunannya menyatakan hasrat meletakkan calon di kerusi Parlimen Batu Pahat yang pada ketika ini disandang oleh Datuk Idris Jauzi dari PKR. –Roketkini.com