Berita

‘Butir Tahi PAP’: Anak muda DAP nasihat Hadi bertaubat

KUALA LUMPUR, 11 APR: Anak-anak muda DAP hari ini melahirkan rasa kesal dan kecewa dengan kata-kata kesat yang dilontarkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan menyifatkan DAP sebagai ‘anak butir tahi PAP’.

“Kami merakamkan perasaan sedih dan kecewa dengan ayat-ayat ini yang dituturkan dua bibir seorang ulama, apatah lagi seorang Timbalan Ketua Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia.

“Kami tidak melihat sebarang kebaikan atau hikmah daripada bicara Haji Hadi dengan kata-kata yang begitu kesat, dan tidak padan dengan sunnah kenabian yang cuba beliau amalkan sehari-hari,” kata kenyataan bersama.

Kenyataan itu turut memetik surah an-Nahl, ayat 125 yang maksudnya; “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.”

Ekoran kenyataan jeliknya itu, Hadi diseru supaya berasa malu dan bertaubat atas tutur katanya yang memalukan.

“Haji Hadi wajar bertaubat dan malu, membiarkan lidah yang gigih berzikir dan menuturkan nama Tuhan, dicemari kata-kata kotor dan kesat.

“Kami bangga menjadi mata rantai penerus perjuangan DAP, biarlah apa pun kata Haji Hadi.

“Kami lega kerana ditakdirkan tidak punya pemimpin yang jijik kata tuturnya, meski giat menyebut bahasa agama dan ketuhanan,” kata mereka.

Hadi seperti dilapor Malaysiakini dalam ucapannya di Rusila malam tadi melafazkan kata-kata kesat itu ketika menggambarkan kononnya DAP merupakan jelmaan PAP setelah Singapura berpisah dari Malaysia.

“Kami ingin tekankan bahawa DAP dan PAP tidak ada kena mengena secara parti-ke-parti. Hanya beberapa pengasas DAP pernah menganggotai PAP ketika parti tersebut masih wujud di Malaysia. DAP dan PAP bukan parti adik beradik, atau yang sepertinya.

“Sudah lebih 50 tahun DAP berjuang demi sebuah negara yang aman makmur dengan kebebasan, keadilan, dan solidariti untuk seluruh rakyatnya, tanpa mengira latar kaum, agama, budaya dan daerah,” jelas kenyataan itu.

Dalam pada itu, mereka turut merakam rasa simpati terhadap kader-kader PAS yang ternyata telah meninggalkan tarbiah dan manhaj yang digariskan Almarhum Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat.

“Semoga Haji Hadi banyak beristighfar dan merujuk kembali ajaran Islam sebenar yang santun dan penuh hikmah. Tinggalkanlah Islam yang penuh marah-marah, dan hidupkan Islam yang ramah tamah,” ujar kenyataan itu lagi.

Kenyataan bersama anak-anak muda DAP ini ditandatangani oleh: Edry Faizal, Ahli Jawatankuasa DAP Selangor; Shukri Mokhtar, Ahli Jawatankuasa DAPSY Subang; Dyana Sofya Mohd Daud, Ahli Majlis Eksekutif DAPSY Kebangsaan; Muhammad Shakir Ameer Mohideen, Bendahari DAPSY Selangor; Mohammad Firdaus Babh, Setiausaha DAPSY Selangor, AJK DAPSY Kebangsaan; Young Syefura, Penolong Setiausaha DAP Wanita Kebangsaan; Nor Miswary Ramli, Setiausaha cawangan USJ, Subang Jaya; Masyhur Abdullah, AJK DAPSY Bukit Bintang; Sheikh Omar Ali, Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor; Jamaliah Jamaluddin, Naib Pengerusi, Cawangan DAP Ara Damansara; Farhan Haziq Mohamed, Pengarah Pendidikan Politik DAPSY Subang; Ahmad Anwar Asyraf, Penolong Setiausaha Publisiti DAPSY Johor; Ahmad Irfan Hani, DAPSY Subang; Nurul Shifa Abdul Manan, Naib Pengerusi DAP Perlis; dan Azfar Faruqi Mohamad Idris, Pengerusi DAP Cawangan Taman Seroja, Fadilah Michael Setiausaha Publisiti DAP Pensiangan. – Roketkini.com