Berita

DAP Pensiangan anjur program pupuk minat membaca kanak-kanak pedalaman

PENSIANGAN, 11 APRIL: DAP Pensiangan sentiasa prihatin dan menitik beratkan pendidikan kanak kanak sekolah pedalaman agar tidak tercicir daripada pembelajaran di sekolah.

Program Impian Membaca yang diadakan di Kampung Pantai Baru kelmarin, merupakan program yang dianjurkan DAP hasil inisiatif Impian Sabah, telah merealisasikan program khas pembelajaran untuk kanak kanak melalui beberapa pendekatan baru dalam memupuk minat pelajar sekolah untuk belajar.

Ketua Wanita DAP Pensiangan, Clare Taunek berkata, pendekatan baru yang di sampaikan oleh tenaga pengajar sukarelawan ialah cuba membawa kanak-kanak ini untuk merasai pengalaman baru dalam sistem pembelajaran.

Melalui kaedah ini, pelajar berusia 7 hingga 12 tahun ini diajar membaca dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris sambil bercerita dengan menggunakan karektor-karektor tertentu seperti haiwan.

Clare Taunek Simbat, Penyelaras DAP Sook

“Impian Sabah mempunyai dua tenaga pengajar yang khusus dalam bidang pembelajaran kanak kanak iaitu Adrian Cheah dan Ming Chu yang cukup berpengetahuan dalam mendidik pelajar pra sekolah dan peringkat sekolah rendah,” katanya.

Menurut Clare, tanpa inisiatif Impian Sabah yang mengumpul dana dan sumbangan daripada rakyat Malaysia yang perihatin, mustahil program amal seumpama ini dapat di laksanakan bagi mereka yang tinggal di pedalaman Parlimen Pensiangan.

Sebelum ini, program Impiam Membaca pernah dianjurkan di beberapa buah kampung, antaranya adalah Kampung Sinaron, Kampung Simbuan, Kampung Kelampun, Kampung Marasak dan yang terbaru di Kampung Pantai Baru.

Di samping itu, matlamat program ini juga adalah untuk memberi pendedahan kepada kanak kanak yang baru ingin memasuki alam persekolahan kelak, agar mereka tahu betapa seronoknya belajar di sekolah tanpa rasa ragu dan takut.

Melalui program amal ini juga,secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan penduduk kampung.

Clare yang juga Penyelaras DAP Sook berkata, pihaknya akan sentiasa memastikan program seumpama terus dilaksanakan dari masa ke semasa demi kesejahteraan penduduk kampung diseluruh Parlimen Pensiangan.

“Program yang anjuran DAP ini sememangnya bagus kerana tidak ada lagi program atau acara seumpama ini diadakan di kampung kami ini. Ia merupakan satu inisiatif dan pendekatan yang baik untuk anak anak kami,” kata Gosidi Bitis salah seorang penduduk kampung yang turut sama hadir memeriahkan program pada petang itu.

Program yang diadakan selama dua hari ini telah berjaya menarik minat lebih 35 orang pelajar dari pelbagai peringkat umur.

Selain itu, turut dianjurkan ialah program membuat cupcake khusus buat golongan ibu dan beliawanis diselenggarakan oleh Setiausaha Publisiti DAP Pensiangan, Fadilah Michael. – Roketkini.com