Berita

RUU355: Ariff Sabri berbahas dalam ‘Parlimen Rakyat’, jawab hujah PAS

KUALA LUMPUR, 11 APR: Keadilan pelaksanaan sebarang undang-undang di negara ini hanya akan terjamin melalui ketelusan dan urustadbir yang baik tegas Ahli Parlimen Raub, Datuk Mohd Ariff Sabri.

Beliau berkata demikian mengulas polemik yang mencetuskan perdebatan hangat dikalangan masyarakat berhubung usul persendirian Ahli Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi meminda akta Mahkamah Syariah (Akta 355).

Menurut Ariff, berdasarkan fakta dari Transparency International 2017, sejumlah 31 peratus mereka yang bekerja dalam institusi agama didapati melakukan rasuah.

“Walaupun kita punya keberagamaan, ia bukanlah memberi monopoli (kepada) kebenaran, (kerana) orang yang alim, ulama, ahli agama juga tak terkecuali menerima duit, dia tak terkecuali melakukan kesalahan, tak terkecuali melakukan kesilapan,” katanya dalam Sidang Parlimen Rakyat anjuran Invoke malam tadi.

Beliau turut menjawab beberapa persoalan kritikal yang sering diulang-ulang pemimpin PAS dan UMNO mengapa masyarakat dan Ahli-ahli Parlimen bukan Islam menyuarakan kekhuatiran dan tidak bersetuju dengan usul yang dibawa Hadi itu.

“MP Kota Bharu (Datuk Takiyuddin) ucapannya mengeluarkan hansard tahun 1965, 1984 kebetulan saya ada Salinan hansard tersebut dan dia mengungkap bahawa ketika itu tidak ada seorang pun Ahli Parlimen yang bukan beragama Islam yang berbangsa bukan Melayu menolak atau menentang RUU (Mahkamah Syariah) ketika itu.

“Saya hanya nak jawab berdasarkn fakta, pada masa itu tidak ada kes seperti yang berlaku kepada Puan Indra Gandhi, tak ada kes berebut jenazah nak kebumi di mana, tidak ada perebutan hak jaga anak-anak, tidak ada pemaksaan tukar agama.

“Kalau ada perkara-perkara ini dalam tahun 1965 dan 1984, saya yakin ahli-ahli parlimen yang bukan beragama Islam dan bukan berbangsa Melayu akan menegur,” jelasnya Ariff.

Dalam perkara berkaitan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan baru-baru ini juga bersetuju bahawa pemerkasaan Mahkamah Syariah wajar dipersetujui secara prinsip.

Namun, apa yang dikesalkan ialah tindakan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang menafikan ruang membahaskan mengenai pindaan rang undang-undang tersebut.

Ariff yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Pahang itu berkata, ‘kejayaan’ PAS membentangkan usul tanpa dibahas itu dilihat sebagai perangkap politik yang dicipta UMNO yang membuka ruang memainkan sentimen kaum dan umat Islam di Malaysia.

“Kenapa tak ada keikhlasan dari kerajaan untuk melaksanakan peraturan mesyuarat 48.  Mudah saja. Saya rasa ini adalah mainan politik Yang Amat Berhormat dari Pekan (Datuk Seri Najib Razak),” katanya.

Dengan menangguhkan perbahasan tersebut kata Ariff, ia boleh secara tidak langsung boleh meraih sokongan penyokong PAS.

“Dia tahu sokongan kepadanya hari-hari makin merosot dan dia memerlukan pendekatan agama untuk menarik sokongan orang Melayu.

“Saya nak tanya bagaimana usul persendirian mahu ke bacaan pertama dan seterusnya bacaan kedua kemudian diundi sebagai bill jika kerajaan tidak mengangkat usul ini, jadi itu membuat saya simpulkan bahawa isu RUU persendirian untuk meminda Akta 355 ini adalah mainan politik semata-mata,” katanya lagi. -Roketkini.com