Berita

DAP Sabah gesa kerajaan segerakan projek infrastruktur air di Transpagalan

KOTA KINABALU, 12 APR: Penasihat DAP Sabah, Jimmy Wong Sze Phin melahirkan rasa kecewa terhadap pengabaian 7,000 penduduk di Mukim Transpagalan di daerah Sook, Pensiangan yang menunggu janji hampir 10 tahun menikmati kemudahan air bersih.

Akibat pengabaian Barisan Nasional (BN), penduduk dari 15 kampung itu terpaksa bergantung kepada sumber air gravity dan sungai walaupun kawasan mereka terletak sekitar 10 kilometer dari Pekan Keningau.

“Saya rasa kecewa, sebelum ini kerajaan pernah melaksanakan enam projek pam air graviti untuk penduduk kampung itu tapi tergendala tanpa sebarang tindakan susulan.

“Kami berasa sangat hairan mengapa boleh jadi begitu, kenapa tergendala?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Kampung-kampung yang terjejas akibat janji tidak ditepati BN itu ialah Kg Panagatan Ulu, Kg Mapua, Kg Magatang, Kg Kesugui, Kg Ambual, Kg Merapok, Kg Panoi, Kg Marasak, Kg Sodomon, Kg Bamboi, Kg Pantai Baru, Kg Meilo, Kg Linsudan, Kg Linsudan Baru dan Kg Kiamadang.

Menurut Ahli Parlimen Kota Kinabalu itu, salah satu kampung yang terjejas teruk ialah Kg Ambual yang memiliki 1.741 penduduk.

“Kebanyakan penduduknya yang memperolehi sumber air daripada sungai berkenaan tidak lagi selamat di gunakan berikutan kajian yang di buat oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) daerah Keningau baru baru ini mengesahkan Sungai Ambual telah tercemar akibat sisa buangan bahan kimia dari kilang berhampiran dan tidak selamat untuk digunakan,” ujar beliau.

Jimmy berkata, masalah penduduk di Transpagalan ini turut disuarakan dalam persidangan Parlimen baru-baru bagi sesi pendengaran Kamar Khas.

“Masalah sudah lama berlaku, kita ingin tahu bila pihak berkuasa akan bertindak. Ini bukanlah perkara yang baru berlaku. Telah banyak janji dibuat tapi masih belum ditepati,” katanya.

Dalam jawapan yang diperoleh, Kementerian Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah melalui Timbalan Menterinya Datuk Alexander Nanta Linggi memaklumkan bahawa pihak kementerian akan melaksanakan dua projek bekalan air luar bandar (BALB) di bawah Rancangan Malaysia ke-11.

Kementerian itu juga berkata pihaknya akan membuat lantikan kontraktor bagi projek tersebut pada bulan Julai ini.

“Kami sangat berharap supaya kerajaan menunaikan janji mereka. Jangan sekadar janji. Kasihanilah rakyat yang telah lama menanggung kesusahan untuk mendapatkan kemudahan air bersih,” gesanya lagi.

Isu bekalan air bersih penduduk di Tranpagalan pernah mendapat liputan Roketkini di https://www.roketkini.com/2017/03/22/pensiangan-lembu-pun-dapat-air-bersih-kami-orang-kampung-bila-lagi/  – Roketkini.com