Berita

‘Eloklah Hadi Awang ambil cuti hilangkan tekanan’ – Tengku Zulpuri

MENTAKAB, 12 APR: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang disaran mengambil cuti bagi menghilangkan tekanan susulan tindakannya memaki hamun DAP dengan perkataan kesat dalam satu majlis di Rusila, Terengganu pada malam kelmarin.

Naib Pengerusi DAP Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata, ia bukanlah pertama kali Hadi Awang menghamburkan kata-kata kurang elok terhadap pihak yang tidak bersetuju dengan tindakannya.

“Berhujahlah secara profesional dengan fakta bukannya dengan memaki hamun, tunjukkanlah tauladan yang baik kepada generasi muda.

“Jangan anggap seperti orang lain tidak tahu hal agama dan hukum Islam, berhujahlah dengan baik bukannya menjual nama agama demi kepentingan politik,” kata Tengku Zul yang juga Adun Mentakab kepada Roketkini.

Malah, menurut Ketua Pembangkang DUN Pahang itu, budaya menghina musuh dengan kata-kata kesat seperti yang dilakukan Hadi Awang berkenaan bertentangan dengan budaya orang Melayu yang bersopan santun dan menjaga tutur kata ketika berbicara.

“Jika kita lihat orang orang Melayu beragama Islam dahulu hendak bergaduh pun berpantun dahulu dan jika kita lihat seni mempertahankan diri seperti silat pun ada seninya dan adabnya tidak memaki hamun musuhnya.

“Saya rasa kasihan kepada Hadi Awang dan minta kalau boleh dia bercutilah. Mungkin dia tertekan dengan masalah dalaman parti, masalah menantu, masalah negara dan sebagainya,” ujarnya.

Hadi Awang yang juga Timbalan Ketua Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia seperti dilaporkan media semalam menggelar DAP sebagai “anak butir taik PAP (Parti Tindakan Rakyat)”.

“Dulu (semasa) Singapura dalam Malaysia, ada cawangan PAP di Malaysia. Bila Singapura keluar daripada Malaysia, PAP tukar jadi DAP.

“Jadi DAP ini anak butir taik PAP. (Saya) sebut dengan bahasa yang kasar sikit, ini dia,” katanya dipetik laporan media.

Pada Mei tahun lalu, Hadi Awang yang juga Ahli Parlimen Marang turut dilaporkan menghina DAP dengan kata-kata kesat seperti berikut: “mengembala lembu UMNO daripada babi DAP”. -Roketkini.com