Berita

Fokus agenda rakyat, hentikan permainan label-melabel

KLUANG, 12 APR: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak wajar menggunakan kata-kata kesat untuk melabel pihak yang tidak bersetuju dengannya.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Omar Ali berkata, adalah lebih baik Hadi Awang memikirkan jalan penyelesaian serta dasar bagi mengangkat agenda reformasi dalam tadbir urus negara yang kian parah di bawah pemerintahan UMNO-Barisan Nasional ketika ini.

“Justeru, saya nasihatkan Presiden PAS agar lebih berjiwa besar untuk tampil di hadapan rakyat dengan mengemukakan tawaran-tawaran dasar yang benar-benar menyentuh isu dihadapi rakyat.

“Meletakkan label-label yang tidak sepatutnya seperti ‘anak butir taik’ itu dan ini, tidak akan memberi apa-apa kebaikan kepada rakyat dan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hadi Awang yang juga Timbalan Ketua Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia seperti dilaporkan media semalam menggelar DAP sebagai “anak tahi butir PAP (Parti Tindakan Rakyat)”.

“Dulu (semasa) Singapura dalam Malaysia, ada cawangan PAP di Malaysia. Bila Singapura keluar daripada Malaysia, PAP tukar jadi DAP.

“Jadi DAP ini anak butir taik PAP. (Saya) sebut dengan bahasa yang kasar sikit, ini dia,” katanya dipetik laporan media.

Mengulas lanjut, Sheikh Omar berkata, PAS ditubuhkan pada 1951 dengan nama Persatuan Islam Se-Malaya semasa Persidangan Alim Ulamak Malaya yang dianjurkan UMNO.

Malah, jelasnya, Yang Dipertua pertama PAS, Haji Ahmad Fuad Hassan pernah memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Agama UMNO.

“Menggunakan logik yang sama, PAS boleh sahaja dilabel sebagai ‘anak butir taik UMNO’ jika kita mahu.

“Namun bagi saya, DAP tidak memilih melabel pesaing politiknya dengan label-label sebegitu,” katanya. – Roketkini.com