Berita

Tolak golongan tunggang agama demi kepentingan politik

KUALA LUMPUR, 12 APR: Ahli Parlimen Raub, Datuk Mohd Ariff Sabri menggesa rakyat Malaysia supaya menolak mana-mana kumpulan yang memperalatan agama atau memainkan sentimen perkauman untuk kepentingan politik sempit mereka.

Menurutnya, kelompok tersebut akan mencipta kerisauan dan kegusaran terhadap sesuatu isu baru melibatkan agama atau kaum walaupun ia bukan masalah sebenar.

Ini katanya termasuk mainan politik dengan manipulasi fakta berhubung usul persendirian pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (RUU355) oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang telah menyebabkan masyarakat negara ini semakin berpecah.

“Orang Islam yang tidak setuju dikatakan (kononnya) terkeluar akidah, murtad, liberal dan sebagainya. Keadaan menjadi tegang kerana dua kumpulan yang mahu menengakkan ketuanan mereka iaitu satu ‘ketuanan Islam’ dan ‘ketuanan Melayu’.

“Isu rasuah dan kepimpinan yang buruk dilupakan tiap kali ada isu sampingan yang dibisingkan, ini semua taktik untuk mengalih pandangan dari isu utama,” katanya dalam Sidang Parlimen Rakyat baru-baru ini.

Dalam perkara ini, agama Islam di Malaysia digambarkan kononnya ditindas walaupun ia berbeza dari realiti sebenar.

“Selama ini tidak pernah orang kacau ganggu gugat syiar agama Islam. Kerisauan ini ditimbulkan kerana kita sedang hadapi bahang pilihanraya,” tegas Ahli Jawatankuasa DAP Pahang itu.

Jelas beliau, polemik RUU355 telah menyaksikan pengkhianatan UMNO kepada PAS walaupun ia tidak disedari parti tersebut.

“Dari bersetuju untuk membentuk jawatankuasa, kemudian dia buat U turn walaupun PM dan TPM telah menyatakan kesanggupan mereka membawa RUU355, bila sampai kepada hari ditentukan, tidakdibawa pula melainkan diberi kepada Marang yang kita tau tak melepasi bacaan pertama.

“Kita perlu bahas dan tanya diri sendiri, kenapa kerajaan mengkontrakkan kerja mereka kepada Marang dan parti Ahli Parlimen Marang? Tugasan hakiki kerajaan ni disub-kontrakkan keluar. Ini dilakukan oleh sebab agenda politik yang saya sebutkan tadi.

Tindakan BN ‘mengkontrakkan’ untuk membawa usul pindaan tersebut di Parlimen jelas Ariff hanya membuktikan bahawa BN tidak ikhlas menjalankan tugasnya.

“Kalau Ahli Parlimen Jerai (Datuk Seri Jamil Khir) tak tau buat kerja, baik berhenti sahaja daripada jadi menteri. Kalau kerajaan tak nak bawak, turunlah ‘takhta’ dan kita tau nak melakukan perkara-perkatra itu,” katanya lagi. –Roketkini.com