Berita

Tony Pua tetap pendirian tidak tunduk kepada tekanan Najib Razak

PETALING JAYA, 12 APRIL: Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua hari ini menegaskan beliau kekal dengan pendirian tidak tunduk kepada tuntutan maaf kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung rakaman video ucapannya yang dimuat naik di Facebook.

Ia sebagai respon kepada surat tuntutan daripada peguam kepada Najib, Datuk Mohd Hafarizam Harun yang menuduh kononnya Tony Pua membuat kenyataan fitnah dalam video yang dimuat naik di Facebook miliknya bertajuk “BN Govt Abandons all Bills to give precedence to PAS’ RUU355 Private Member’s Bill”.

Dalam video itu, Tony antara lain mengulangi apa yang pernah ditegaskannya sebelum ini berkenaan gejala rasuah melibatkan perdana menteri dengan menggunakan istilah ‘kleptokrat’ merujuk kepada sebuah kerajaan yang mencuri sumber negara.

“Saya berpegang kepada kenyataan saya sebelum ini. Jadi, saya tidak akan tarik balik kenyataan itu atau memadam rakaman tersebut.

“Saya juga tidak akan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Perdana Menteri mahupun bayar ganti rugi kepada Datuk Seri Najib Razak,” kata Tony dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Setiausaha Publisiti DAP itu, apa yang didedahkan beliau dalam video tersebut adalah fakta sebenar yang tidak boleh dipertikaikan lagi.

Sebaliknya, orang yang didakwa melakukan kesalahan itu, Najib Razak pula tidak pernah menafikan atau mempertikaikan fakta yang didedahkan oleh The Sarawak Report dan The Wll Street Journal sebagaimana yang disahkan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ).

“Perlu diambil maklum, Datuk Seri Najib Razak tidak pernah mempertikaikan atau menafikan fakta yang dibentangkan DOJ sejak Julai 2016,” katanya lagi.

Tony sekali lagi menegaskan bahawa segala bukti dan fakta telah disertakan dalam samannya terhadap Perdana Menteri dan kerajaan pada 16 Januari lalu atas dakwaan terlibat dalam salah guna kuasa pentadbiran melibatkan 1MDB. – Roketkini.com