Berita

Wakil rakyat ketawa disiasat polis selepas setahun forum berlangsung

GEORGE TOWN, 12 APR: Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto hari ini hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut dekat Jalan Patani di sini berhubung penglibatannya dalam satu forum yang diadakan di Pulau Pinang pada tahun lalu.

Beliau yang ketika dihubungi Roketkini menyifatkan tindakan polis yang memanggilnya untuk memberi keterangan berhubung pembabitannya sebagai ahli panel dalam forum bertajuk “Deklarasi rakyat: Suara anak muda, selamatkan Malaysia” itu sebagai melucukan.

“Saya rasa lawak (sebab) selepas genap setahun (program itu berlangsung) kami dipanggil polis (untuk beri keterangan),” katanya yang juga Setiausaha Publisiti Wanita DAP.

Forum berkenaan diadakan di Kompleks Masyarakat Penyayang, di sini pada 12 April 2016.

Peguam yang mewakili Kasthuri, R.S.N. Rayer ketika ditemui pemberita berkata siasatan berkenaan dilakukan di bawah Akta Perhimpunan Aman.

Bagaimanapun, menurutnya, laporan polis itu tidak dibuat secara langsung terhadap Kasthuri.

“Kami tidak ada apa-apa maklumat. Kami di sini kerana Kasthuri menghadiri forum itu dan diminta membantu siasatan,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Kasthuri turut mempersoalkan kewajaran polis menyiasat perkara itu di bawah Akta Perhimpunan Aman.

“Pelik kerana program ini telah diadakan di Kompleks Masyarakat Penyayang, dalam bilik tertutup. Jadi, mengapa perlu disiasat mengikut Akta Perhimpunan Aman?

“Jangan-jangan satu hari nanti mahu melangsungkan perkahwinan pun perlu permit Akta Perhimpunan Aman daripada polis,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim yang juga ahli panel forum tersebut telah dipanggil polis untuk memberi keterangan esok. – Roketkini.com