Berita

‘Felda tiada masalah’ hanya retorik politik Shahrir Samad

KUALA LUMPUR, 17 APR: Alasan Pengerusi FELDA Tan Sri Shahrir Samad baru-baru ini kononnya agensi tersebut tidak tenat kerana memiliki aset bernilai RM22 bilion dan disenaraikan dalam bursa saham menimbulkan persoalan.

Menurut Pakatan Harapan, nilai aset yang terlalu banyak tetapi mempunyai aliran tunai yang buruk hanya membuktikan FELDA bermasalah tambahan pula apabila melibatkan peneroka yang berpendapatan kecil dan sederhana.

Justeru, alasan Shahrir kononnya FELDA tidak bermasalah sekadar mengaburi mata rakyat dan meraih sokongan politik sahaja.

“Penjualan semula saham Felda Global Venture Holdings Berhad (FGV) oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) jelas membuktikan bahawa nilai saham syarikat Felda semakin terjejas, apatah lagi selepas KWSP mencatatkan kerugian sebanyak RM203.18 juta setelah menjual saham-saham miliknya dalam FGV pada bulan Ogos yang lalu.

“Sekiranya Shahrir mahu menjual aset-aset mewah di UK, ianya satu langkah yang baik. Tetapi, apakah ada jaminan bahawa wang yang diperoleh hasil penjualan akan diberikan semula kepada peneroka Felda yang menanggung hutang kira – kira RM8 bilion pada tahun 2014?

“Adakah Shahrir sanggup membuat siasatan dalaman berhubung pembelian aset-aset mewah ini, sedangkan pada masa yang sama bekas pengerusi yang terlibat dalam kes ini juga merupakan rakan se’UMNO’?” soal kenyataan itu.

Kenyataan bersama yang ditandatangani Pengerusi Biro Parlimen FELDA DAP, Datuk Mohd Ariff Sabri, wakil PKR Onn Abu Bakar dan Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus berkata, Shahrir terpaksa menyembunyikan hakikat bahawa UMNO- BN saat ini gagal mempertahankan hak peneroka FELDA.

Antara masalah FELDA yang masih berlarutan ialah kekurangan program Perumahan Generasi Kedua Felda, bantuan pendidikan tinggi kepada warga Felda serta peruntukan elaun sara hidup yang sedikit.

“Ia membuktikan bahawa kerajaan Umno BN di bawah era Najib Razak meminggirkan warga Felda dan ini termasuk membeli aset-aset mewah di United Kingdom,” kata mereka.

Keadaan ini tambah kenyataan itu mengingatkan kepada skandal hartanah MARA di Melbourne yang dibeli dengan harga lebih tinggi berbanding kos pasaran.

“Akhirnya, MARA memaklumkan untuk menjual semula aset-aset ini bagi mendapatkan wang.
“Tetapi, adakah dengan cara ini kes penyelewengan akan ditutup dengan mudahnya? Ke manakah perginya hasil siasatan pembelian aset?” soal mereka lagi. –Roketkini.com