Berita

Shabudin Yahya, mana dia rumah murah PERDA?

GEORGE TOWN, 17 APR: Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Datuk Shabudin Yahaya dinasihatkan supaya tidak berdolak dalih dalam kes kerugian penjualan tanah Taman Keramat Permai, Seberang Perai Selatan di bawah harga pasaran.

Tanah dengan keluasan 8.5 ekar itu dijual dengan harga yang rendah iaitu RM1.4 juta berbanding RM16.6 juta mengikut taksiran Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kepada syarikat swasta, SYT Prestige Sdn Bhd (SYT) pada 31 Mac tahun lepas.

Dengan kerugian RM15.2 juta itu, PERDA menetapkan syarat supaya syarikat berkenaan membina rumah mampu milik di Pulau Pinang.

Namun, kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, sehingga kini tidak ada kertas cadangan daripada syarikat tersebut untuk membina rumah seperti yang dimaksudkan, sebaliknya hanya cadangan untuk membina rumah kedai.

“Dakwaan Shabudin bahawa pembeli disyaratkan membina rumah murah amat diragui bila arkitek SYT membentangkan permohonan untuk membina 27 rumah kedai kepada Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) pada 28 Mac lepas.

“Jangankan rumah murah, sebuah rumah pun tidak dicadangkan,” kata Ahli Parlimen Bagan itu dalam kenyataan, hari ini.

Malah beliau yang juga Setiausaha Agung DAP menyifatkan dakwaan PERDA bahawa rumah murah hanya akan dibina selepas rumah kedai siap dibina sebagai mengelirukan dan tidak bertanggungjawab.

“Ini kerana garis panduan perumahan yang dipakai di seluruh negara mewajibkan rumah murah, seperti rumah kos rendah dan rumah kos sederhana rendah, dibina dahulu atau serentak dengan rumah kedai atau yang mewah.

“Macam mana rumah murah boleh dibina serentak dengan rumah kedai bila tidak ada permohonan dibentangkan untuk bina sebuah rumah pun, jangan pun sebut rumah murah?” soalnya yang juga Adun Air Puteh

Shabudin yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor baru-baru ini menjadi tajuk utama berita apabila mencadangkan bahawa kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun sudah boleh berkahwin, selain mencadangkan supaya mangsa rogol menikahi perogolnya sebagai satu jalan penyelesaian.

Ekoran ucapan kontroversi di Parlimen itu, Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang akan membentangkan usul mengutuk ucapan terbabit yang disifatkan Guan Eng sebagai kenyataan yang kolot dan menghina wanita.

“Usul Dewan Undangan Negeri terhadap Shabudin pada bulan depan, adalah kerana pendirian Shabudin menyokong perkahwinan kanak-kanak.

“Usul ini bukanlah bermotif politik untuk membalas dendam kerana sekiranya benar, satu usul boleh dikemukakan untuk skendal tanah RM15.2 juta terhadap Shabudin tetapi tidak dilaksanakan. Lebih baik Shabudin bertaubat dengan letak jawatan sebagai Ahli Parlimen,” kata Guan Eng. – Roketkini.com