Berita

Bangsa Malaysia: UMNO akhirnya akur dasar perkauman tidak lagi relevan

SUBANG JAYA, 18 APR: Menteri UMNO, Khairy Jamaluddin akhirnya terpaksa akur bahawa dasar perkauman kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN) tidak lagi relevan khususnya buat golongan belia negara ini, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya, Hannah Yeoh.

Ia katanya dapat dilihat daripada kenyataan Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan seperi dilaporkan Bernama semalam mengatakan bahawa belia negara ini mahu dilihat dengan identiti Bangsa Malaysia.

Khairy juga dipetik berkata, berdasarkan lebih daripada 20 siri dialog yang diadakan tentang Transformasi Nasional 2050 (TN50), beliau mendapati belia Malaysia mahu ‘tembok’ yang memisahkan kaum-kaum di negara ini dimusnahkan.

“Saya amat teruja membaca laporan Bernama yang memetik kenyataan Khairi yang berkata belia Malaysia mahu dikenali sebagai ‘Bangsa Malaysia’ dalam tempoh 30 tahun akan datang.

“Kenyataan Khairy Jamaluddin sangat signifikan. Pengakuan seorang menteri UMNO akhirnya bahawa dasar perkauman kerajaan BN tidak relevan dan terpisah daripada aspirasi golongan belia Malaysia.

“Malaysian Malaysia adalah masa depan negara kita selayaknya,” katanya yang juga Speaker Dewan Negeri Selangor dalam kenyataan hari ini.

Dalam masa yang sama, Hannah yang juga Naib Ketua Wanita DAP turut mengimbau cabaran dan tentangan yang terpaksa dihadapinya dan suami sewaktu mahu mendaftarkan identiti anak sulung mereka enam tahun lalu sebagai ‘Bangsa Malaysia’

“Ketika itu, usaha kami dicemuh BN dengan pelbagai dakwaan kononnya mahu meminggirkan kaum India, penghapusan etnik dan banyak lagi dakwaan liar,” ujar Hannah.

Menurut Hannah, beliau berkeyakinan kenyataan Khairy itu bukanlah retorik semata-mata menjelang pilihan raya tetapi pengakuan bahawa sebarang bentuk perkauman perlu dihentikan bermula dari pihak tertinggi di Putrajaya. -Roketkini.com