Berita

Rayuan derma bina jeti nelayan di Kg Belakang Kilang Padi

Kisah nelayan terpinggir bukan cerita baru. Kisah nelayan daif, miskin dan hidup susah sudah lama ada dalam masyarakat Malaysia.

Kira-kira 18 keluarga mencari rezeki dengan menangkap ikan di kampung ini dan hanya ada sebuah jeti kayu uzur sepanjang 50 meter yang perlu diperbaiki segera kerana ia merupakan penyambung rezeki buat anak dan keluarga mereka.

Pada 2012, kesukaran nelayan ini telah disiarkan di media arus perdana – Cerita bagaimana nelayan di kampung ini membina jeti secara gotong-royong.

Usia lanjut jeti ini menjadikan ia ini perlu diperbaiki dengan segera kerana pada bila-bila masa boleh runtuh dan mendatangkan bahaya kepada pengguna.

Tahun berganti tahun cerita mereka ini bagai tiada yang mahu mendengar. Kesengsaraan 50 nelayan ini tidak pernah dipedulikan. Mereka dipinggirkan, pihak yang bertanggungjawab diam membisu seribu bahasa dan langsung tidak kisah dengan kesengsaraan nelayan ini.

Jeti boleh runtuh pada bila-bila masa

Manap bin Hamid, 69, nelayan

“Sungai Perak ini nadi bagi nelayan kecil seperti kami. Pelbagai aktiviti kami lakukan seperti memancing, menjala dan membelat hasil sungai seperti udang galah dan ikan demi mencari sumber pendapatan seharian untuk menyara hidup,” ujar Manap bin Hamed, 69.

Menurut nelayan, jeti tersebut menjadi penyambung kepada mata pencarian dan kehidupan beliau sekeluarga, oleh itu perlu segera diperbaiki.

“Jeti ini kami bina hasil sumbangan dan gotong-royong nelayan di sini. Sudah beberapa kali kami membaik pulih kerosakan lantai dan tangga jeti ini dan kini saya merayu agar ada pihak yang dapat membaik pulih jeti ini dengan struktur yang lebih kukuh lagi,” ujarnya.

Impian Perak

Terence Naidu, ADUN Pasir Berdamar, Perak

“Nelayan-nelayan ini telah datang kepada saya dan memohon agar kesulitan mereka berkenaan dengan jeti yang hampir roboh itu dapat dibantu.

“Maka saya telah membawa masalah nelayan ini kepada Impian Perak dan Impian Perak terus  mengambil keputusan serta merta untuk menolong nelayan-nelayan ini,” ujar Adun Pasir Bedamar, Terence Naidu.

Menurut beliau, Impian Perak merupakan projek yang diselia DAP Perak bagi membela masyarakat negeri ini yang terpinggir daripada arus pembangunan.

“Sejak Impian Perak dilancarkan hingga kini Impian Perak telah berjaya melaksanakan beberapa projek pembangunan.

“Projek itu termasuk membina rumah untuk warga miskin di Tronoh, menurap semula padang bola di Batu Gajah, menyediakan paip air graviti di Kampong Orang Asli di Gerik dan membina jeti untuk nelayan di Kampung Esso di Teluk intan,” katanya.

Katanya, meskipun mengalami masalah kekurangan dana dari masa ke semasa, ia tidak mematahkan semangat Impian Perak untuk terus membantu rakyat di negeri ini.

“Projek terkini Impian Perak adalah untuk membaik pulih jeti Kg Belakang Kilang Padi di Teluk Intan yang sudah lama daif dan uzur. Jeti ini terbahagi kepada dua fasa  kerana panjang jeti adalah berjarak 132 kaki.

“Projek ini perlu dibahagikan kepada dua fasa kerana kos untuk membina keseluruhan jeti terapung ini tinggi.

“Maka untuk mempercepatkan pembinaan jeti terapung ini maka kami bahagikan kepada dua fasa dan kami bina dulu bahagian jeti yang telah sangat uzur dan kini kami telah berjaya,” katanya.

Kempen Sumbang RM10

Menurut Terence, fasa pertama binaan jeti sepanjang 60 kaki itu menelan belanja sebanyak RM6,000.

Manakala kos membaik pulih bagi fasa kedua pula memakan kos sebanyak RM3,000 yang mana disumbangkan Impian Perak.

“Untuk fasa kedua panjang jeti adalah 72 kaki dengan anggaran kos sebanyak RM7,000. Dengan ini kami ingin membuat satu kempen kepada 700 penderma dengan sumbangan yang diperlukan RM10 seorang,” katanya.

Pengerusi Pusat Komuniti DAP Teluk Intan, Dyana Sofya pula berkata, kempen derma RM10 bagi membaik pulih jeti nelayan seumpama itu pernah dijayakan di Kampung Esso, Teluk Intan.

“Ini (projek baik pulih jeti nelayan Kg Belakang Kilang Padi) merupakan kempen untuk projek jeti kedua di Teluk Intan. Kami berharap orang ramai dapat membantu untuk meringankan beban para nelayan di kampung ini.

Kami juga gembira dapat memberikan peluang ini kepada orang ramai berbakti kepada masyarakat. Semoga dengan projek sebegini rakyat dapat menilai keikhlasan DAP dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat,” katanya.

Sebarang sumbangan derma untuk pembinaan jeti nelayan Kampung Belakang Kilang Padi boleh dibuat melalui akaun tertera di bawah:

Bank: RHB Bank (Pusat Khidmat Adun Pasir Berdamar)

No. Akaun: 258 253 0000 7690

*Anida bt Osman merupakan aktivis DAP Teluk Intan, Impian Malaysia dan Impian Perak