Berita

Tolak kerjasama pembangkang bukti PAS sokong Najib

KUALA LUMPUR, 18 APR: Kedegilan PAS menolak kerjasama dengan parti-parti pembangkang bermakna PAS menyokong UMNO dan Najib dengan memecah undi pembangkang, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Malah, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu berkata, pengumuman PAS untuk meletakkan calon di 80 kerusi Parlimen akan menyebabkan berlakunya pertandingan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dan akan memecahbelahkan parti pembangkang yang merupakan musuh UMNO-Barisan Nasional (BN).

“PAS akan kalah dan mengheret turun parti pembangkang lain. UMNO akan menang, kerana penyokong parti lawan berpecah.

“Secara langsung PAS berusaha, membelanja wang yang tidak sedikit untuk memberi kemenangan kepada BN dan Datuk Seri Najib.

“Jika dikatakan PAS dibawah pimpinan Hj Hadi menyokong kepimpinan Najib, ia bukanlah keterlaluan. Ia memang benar,” katanya dalam kemaskini blog beliau semalam.

Selain bersekongkol dengan Najib dan UMNO, Dr Mahathir dalam masa yang sama menyifatkan PAS bukan sahaja memecahbelahkan orang Melayu tetapi juga memecahbelahkan orang Islam.

“Demikianlah dalam usaha PAS untuk mendapat sokongan mereka sanggup mengkafir orang Melayu yang tidak menyertai parti PAS.

“Dengan ini gejala sosial menimpa keluarga Melayu kerana ada ahli PAS yang mengkafir ibubapa mereka dan menganggap perkahwinan mereka tidak sah. Sehingga ke hari ini pun ada tempat di mana orang Melayu tidak sembahyang bersama,” kata beliau. –Roketkini.com