Rencana

‘Azwanbro’ sebenarnya sindir Najib Razak kan?

Pertama sekali, saya mengucapkan terima kasih dan turut berbangga apabila naib Ketua Pemuda UMNO Saudara Khairul Azwan Harun (atau lebih manja dengan panggilan ‘Azwanbro’) telah menyifatkan salah seorang pemimpin terpenting DAP – Dr Tan Seng Giaw – sebagai seorang pemimpin politik yang berwibawa.

Ia sebenarnya adalah DNA parti, iaitu memiliki pemimpin yang berkaliber seperti Ahli Parlimen Kepong itu. Biarpun tidaklah terperanjat dengan pujian beliau tersebut, namun saya percaya ia bukanlah kenyataan yang sengaja dibuat tanpa ada tujuan yang tersembunyi di belakangnya.

Saudara Lim Kit Siang telah menang di Ipoh Timur semasa pilihan raya umum (PRU) ke-12 pada tahun 2008 semasa apa yang disifatkan oleh media sebagai tsunami politik Malaysia dan beliau melakukannya sekali lagi di Gelang Patah pada tahun 2013 iaitu pada PRU-13.

Kit Siang telah memberi contoh teladan paling radikal dan berani kepada anak muda Malaysia apabila beliau keluar dari zon selesanya di Parlimen Ipoh Timur dan bertanding melawan Menteri Besar Johor ketika itu di Gelang Patah. Sejarah telah pun menulis bagaimana beliau memimpin DAP memenangi 28 kerusi Parlimen pada PRU-12 dan kemudiannya bertambah kepada 37 kerusi parlimen pada PRU-13.

Apakah dengan keupayaan seperti yang ditonjolkan Kit Siang ini, Khairul membuat kesimpulan bahawa Ketua Parlimen DAP ini perlu meletak jawatan dan digantikan dengan orang lain?

Prestasi BN di bawah Najib Razak VS Prestasi Kit Siang dalam PH

Baiklah, mari sama-sama kita semak prestasi UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Prestasi UMNO pada PRU tahun 2008 telah merosot begitu teruk dengan menyaksikan UMNO hanya memenangi 79 kerusi Parlimen daripada keseluruhan 117 kerusi yang mereka bertanding. Sedangkan Kit Siang memimpin DAP memperbaiki prestasi pilihan rayanya daripada hanya 12 kerusi parlimen dalam PRU 2004, meningkat kepada 28 kerusi dalam PRU 2008 dan bertambah kepada 37 kerusi pada PRU 2013.

Biarpun pencapaian UMNO naik sedikit kepada 88 kerusi berbanding PRU yang lepas, namun secara keseluruhannya, Najib tidak terlepas daripada menerima tempias prestasi buruknya apabila gagal membantu BN memperbaiki keputusan dalam PRU 2013, apabila BN hilang tujuh lagi kerusi Parlimennya berbanding PRU 2008 berkurangan menjadi 133 kerusi.

Malah dalam PRU 2013 itu juga, Najib sebagai Pengerusi BN turut menyumbang kepada kekalahan teruk parti-parti komponennya yang lain. MCA hanya menang 6 kerusi Parlimen berbanding 15 kerusi pada tahun PRU 2008, sementara Gerakan hanya berjaya menang satu kerusi sahaja iaitu di Simpang Renggam di Johor, manakala PPP turut kalah di kerusi yang mereka tandingi.

Jika mahu dibuat perbandingan, prestasi Kit Siang jauh lebih baik jika dibandingkan dengan Presiden UMNO malah peranan yang dimainkan beliau telah menyumbang kepada kemenangan besar parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) atau dulunya dikenali sebagai Pakatan Rakyat (PR). Pengalaman dan kemampuan tokoh ini masih diperlukan oleh DAP dan PH malah jauh sekali mengharapkan beliau ditukar-ganti dengan sesiapa pun.

Andai Khairul mencabar Kit Siang meletak jawatan kononnya atas kegagalan tokoh DAP itu mengalahkan BN dalam siri-siri PRU sebelum ini, maka adalah lebih wajar Najib yang terlebih dahulu turun dari kedudukannya jika prestasi PRU 2008 dan PRU 2013 dijadikan ukuran perbandingan.

Lagipun kegagalan Najib memimpin BN mendapatkan semula undi majoriti 2/3 di dalam Dewan Rakyat menerusi dua kali siri PRU yang lepas, sudah cukup bagi Khairul menasihati Presidennya sebagaimana apa yang dilakukan kepada Kit Siang semalam.

Hishammuddin ganti Zahid, KJ ganti Hishammuddin dan Khairul ganti KJ

Sebagai orang nombor dua di dalam Pemuda UMNO, Khairul sedar peluang untuk menggantikan Khairy Jamaludin (KJ) sebagai Ketua Pemuda terbentang luas di depan mata. Beliau hanya perlu menjinakkan ketua dan presiden partinya sahaja untuk menjamin keinginannya dan apa yang beliau cita-citakan. Tetapi bagaimanakah caranya?

Selepas pengumuman Najib Razak melantik Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Menteri Tugas-tugas Khas, buah catur politik Najib Razak telah boleh dihidu dengan jelas.

Kit Siang melihat perlantikan Hishammuddin Hussein hanyalah sebahagian daripada usaha untuk mengenepikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi dan mengukuhkan kedudukan Najib Razak dalam UMNO dan di Putrajaya. Sebagai ayam sabung yang masih cantik bulunya, Khairul pantas melenting dengan telahan Kit Siang tersebut.

Bagi Naib Ketua Pemuda sepertinya, Khairul merasakan beliau perlu bangun membela tindakan Najib. Jawatan senator yang dikurniakan kepadanya bukanlah satu kebetulan. Khairul harus memperlihatkan kesediaanya menduduki kerusi Ketua Pemuda dengan membalas budi Najib yang telah melantiknya.

Maka cara paling afdal ialah menyerang pembangkang terutama DAP melalui pentas lakon wayang terbaiknya. Ini kerana, di saat beliau beriya-iya menutup pergeseran hubungan Zahid-Hishammuddin akibat tindakan Najib, beliau juga sedar, langkah tersebut bagaimanapun akan menguntungkan dirinya dalam mengejar posisi Ketua Pemuda UMNO.

Lalu dibuatlah serangan menghala kepada Kit Siang dan DAP semata-mata mahu dilihat mempertahan kedua-dua helah Najib tersebut; mengenepikan Zahid dan kemudian mengangkat sepupunya – Hishammuddin – ke jawatan Timbalan Presiden. Jangkaan beliau, Khairy Jamaludin pastinya akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan Naib Presiden UMNO itu, dan beliau tentunya akan mengisi kedudukan yang ditinggalkan Khairy Jamaludin.

Khairul tahu tindakan Najib telah menolak Zahid terperosok ke satu sudut gelap, dan cubaan untuk melagakan pemimpin penuh pengalaman DAP antara Dr Tan Seng Giaw dan Lim Kit Siang hanya terbit sekadar untuk menyembunyikan pertembungan dalaman Zahid dan Hishammuddin yang hanya menunggu masa untuk pecah berderai.

Helah Khairul terlalu mudah dibaca. Langkah politiknya tidak lebih hanya sekadar melukut di tepi gantang. Beliau hanya perlu sekali-sekala keluar mencabar tokoh-tokoh besar DAP buat membayar budi. Ini kerana dia sendiri tahu, cabaran semalam sebetulnya perlu di hala kepada Najib dan bukannya kepada Kit Siang. – Roketkini.com

*Nor Miswary Ramli adalah Setiausaha Cawangan DAP USJ Subang Jaya