Berita

‘Cukup-cukuplah sabotaj rakyat Selangor’

KUALA LUMPUR, 20 APR: Cukup-cukuplah sabotaj rakyat dan kerajaan negeri Selangor kata Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Selayang, Ahmad Irfan Hani kepada Pengerusi UMNO, Selangor Tan Sri Noh Omar.

Ia ekoran tindakan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang diterajui menteri UMNO itu untuk membatalkan semua kelulusan projek kerajaan tempatan di kawasan Parlimen di mana Barisan Nasional (BN) tewas.

Dalam kata lain, BN telah membatalkan projek-projek kecil seperti pembangunan infrastruktur, kemudahan awam dan sosio-ekonomi seperti projek menaik taraf jalan, parit dan longkang, lampu jalan dan sebagainya.

“Adakah ini sikap menteri kabinet UMNO yang suka menghukum rakyat Malaysia?

“Tidak cukup dengan mendera rakyat dengan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan kenaikan kos sara hidup, kini ditambah pula pembatalan projek BP 1 yang melibatkan kemudahan asas yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Irfan, sepatutnya KPKT perlu menambah peruntukkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengimbangi perbelanjaan yang semakin meningkat, bukannya dengan pembatalan projek untuk kesejahteraan rakyat.

“Adakah Noh Omar langsung tidak memikirkan kebajikan rakyat Selangor di bawah?

“Insaflah Noh Omar dan pimpinan UMNO di Selangor yang ‘try hard’ untuk memburukkan keadaan di Selangor. Kehidupan dan kebajikan rakyat Selangor kini lebih baik dan terjaga di bawah pimpinan kerajaan Pakatan Harapan,” kata aktivis muda DAP Subang itu.

Ujarnya, tindakan yang disifatkan zalim dan mensabotaj rakyat negeri Selangor itu perlu dihentikan dan ditarik balik.

“Hentikanlah menghukum rakyat hanya kerana tidak mahu memilih kerajaan korup dan kuku besi seperti kerajaan UMNO Barisan Nasional,” gesa Irfan.

Dalam masa yang sama beliau menggesa supaya pilihan raya kerajaan tempatan dikembalikan demi pentadbiran yang telus dan bertanggungjawab. – Roketkini.com