Berita

Harga minyak naik tiga minggu berturut-turut, kerajaan kenakan cukai?

TAIPING, 20 APR: Kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN) mesti menjelaskan kepada rakyat sebab di sebalik kenaikan harga runcit minyak petrol dan diesel untuk tiga minggu berturut-turut, meskipun harga minyak mentah dunia turun AS$1 pada minggu lalu.

Ketua Biro Pembangunan Ekonomi DAP Perak, Chong Zhemin berkata, walaupun ringgit sedikit mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat, kerajaan tetap menaikkan harga runcit RON 95 dan RON 97 masing-masing 3 sen dan 2 sen seliter manakala diesel dengan kenaikan 5 sen seliter.

Dengan kenaikan terbaru itu, harga minyak RON95 kini RM2.27 seliter daripada RM2.24 dan RON97 kini RM2.54 seliter daripada RM2.52 sementara diesel naik kepada RM2.21 seliter daripada RM2.16 minggu lepas.

“Adakah Putrajaya secara senyap mengutip cukai minyak sehingga mengakibatkan inflasi meningkat sejak beberapa bulan lalu?” soal Zhemin dalam kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Setiausaha Publisiti Sosialis Muda DAP (DAPSY) Perak memetik laporan media antarabangsa, Reuters, yang melaporkan inflasi pada bulan Mac di negara ini mencecah 5.1 peratus iaitu tertinggi sejak lapan tahun yang lalu.

“Apabila kerajaan melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), harga runcit RON95 adalah RM1.90 seliter, lebih rendah jika dibandingkan dengan harga minyak hari ini.

“Jadi tidak hairanlah jika inflasi pada bulan Mac meledak ke 5.1 peratus oleh kerana harga minyak RON95 naik kepada harga sebelum pemansuhan subsidi minyak ditambah pula dengan pelaksanaan GST,” ujarnya.

Katanya, kerajaan UMNO-BN telah mengutip RM38 bilion daripada rakyat hasil daripada penjimatan RM20 bilion pemansuhan subsidi minyak serta RM18 bilion hasil daripada pungutan GST sejak cukai itu diperkenalkan pada April 2015.

“Justeru, saya menggesa Putrajaya bersikap lebih telus dan dengan segera mendedahkan formula dan pengiraan bagi harga runcit minyak secara mingguan untuk membuktikan bahawa kerajaan tidak mengutip cukai daripada rakyat secara senyap,” katanya. – Roketkini.com