Berita

Noh Omar macam budak-budak, tidak pandai beza politik dan pentadbiran

SHAH ALAM, 20 APR: Keputusan menteri UMNO, Tan Sri Noh Omar membatalkan kelulusan projek kemudahan awam di kawasan Parlimen di mana Barisan Nasional tewas bersifat kebudak-budakan dan berniat jahat.

Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam, Shakir Ameer berkata, tindakan Noh Omar yang menerajui Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu mencerminkan beliau dan tidak tahu membezakan di antara politik, pentadbiran dan tanggungjawab.

“Harus disedari bahawa rakyat adalah pembayar cukai dan kerajaan tidak boleh menindas sesiapa atas dasar politik.

“Sebagai kakitangan kerajaan, Ketua Pengarah KPKT, Hj Abu Bakar Johari juga sepatutnya lebih peka dan menasihati Kementerian bahawa keputusan yang diambil oleh Datuk Noh Omar adalah tidak bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan.

Apa yang dilakukan KPKT ini kata Bendahari DAPSY Selangor itu berbeza dengan pendekatan yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Selangor yang ditadbir Pakatan Harapan.

“Kerajaan Negeri Selangor tidak langsung menganaktirikan mana-mana pihak atau kawasan untuk projek-projek pembangunan tanpa mengira kerusi yang disandang oleh mana-mana parti politik.

“Kerajaan Negeri Selangor juga akan memastikan bahawa ADUN pembangkang Barisan Nasional menerima peruntukan berpatutan untuk pembangunan kawasan dan juga kebajikan rakyat Selangor.

“Inilah perbezaan di antara Kerajaan Pakatan Harapan daripada Barisan Nasional, kami tidak menzalimi mana-mana pihak dan memastikan perkhidmatan optimum diberikan kepada rakyat tanpa mengira fahaman politik,” jelas beliau.

Menurutnya, sebagai Ahli Majlis Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), beliau sendiri akan memastikan bahawa semua penduduk diberikan perkhidmatan terbaik tanpa mengira latarbelakang politik.

“Kami memahami bahawa mereka juga adalah pembayar cukai dan perkhidmatan harus diteruskan tanpa mengira siapa adalah kerajaan.

“Program-program dan projek pembangunan pro-rakyat juga akan dilaksanakan tanpa sebarang prejudis,” katanya lagi. – Roketkini.com