Berita

Pakatan Harapan gesa Noh Omar tarik balik arahan pembatalan projek PBT

KUALA LUMPUR, 20 APR: Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) digesa menarik semula arahan pembatalan kelulusan projek kerajaan tempatan di kawasan Parlimen di mana Barisan Nasional (BN) tewas.

Gesaan itu dibuat Pakatan Harapan selepas meneliti surat pekeliling yang dikeluarkan Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Kerajaan Tempatan, Abu Bakar Johar pada 7 Mac lepas.

“Tindakan yang tidak rasional seumpama ini dilihat hanya sekadar untuk memperbanyakkan masalah lebih-lebih lagi menjelangnya pilihan raya umum (PRU) yang akan datang.

“Ini seolah-olah menafikan hak rakyat yang membayar cukai dan segala jenis rangkaian cukai termasuk GST (cukai barangan dan perkhidmatan). Adakah rakyat di Parlimen pembangkang bukan sebahagian rakyat Malaysia?” kata Pakatan Harapan dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Adun Ijok (PKR), Dr. Idris Ahmad; Ahli Parlimen Raub (DAP), Datuk Ariff Sabri dan Ahli Parlimen Shah Alam (Amanah), Khalid Samad.

Pakatan Harapan berkata, tindakan Menteri KPKT, Tan Sri Noh Omar memperkudakan kementeriannya demi kelangsungan politik peribadi dengan tindakan penyalahgunaan kuasa berkenaan akan memakan diri UMNO-Barisan Nasional (BN) dan dirinya sendiri.

“Kami menggesa Noh Omar selaku Menteri yang bertanggungjawab untuk menarik semula surat tersebut dan kami turut mengesyorkan untuk kesemua Ahli Parlimen pembangkang yang terlibat untuk memfailkan tindakan undang-undang untuk membatalkan perintah itu,” kata Pakatan Harapan.

Pakatan Harapan dalam pada itu menyatakan ikrar akan melindungi kepentingan semua pihak di kesemua Pihak Berkuasa Tempat (PBT) di seluruh negeri termasuk kawasan Parlimen UMNO-BN jika diberi mandat untuk mentadbir negara selepas PRU akan datang. – Roketkini.com