Berita

Kepuasan pengguna terhadap pengangkutan awam merudum

KUALA LUMPUR, 21 APR: Walaupun kajian oleh World Economic Forum (WEF) yang meletakkan Malaysia di kedudukan ke-11 terbaik dunia dalam infrastruktur pengangkutan awam dan swasta, lain pula dengan dapatan survei Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Kajian SPAD itu mendapati, 48 peratus pengguna pengangkutan awam menunjukkan mereka tidak berhasrat menggunakan perkhidmatan itu pada masa hadapan.

Ini kerana, majoriti rakyat merasakan bahawa kos pengangkutan adalah mahal, tidak menepati masa mengikut jadual dipaparkan serta perihal ‘connectivity’ kata Pengarah Strategi Parti Amanah Negara (AMANAH), Dr Dzulkifly Ahmad dalam kenyataannya hari ini.

Statistik itu juga jelas beliau menyebabkan penurunan kepuasan pengguna terhadap pengangkutan awam sebanyak 13.95 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Menyifatkannya sebagai kegagalan pada tahap perancangan, Dr Dzul berkata kerajaan perlu kembali melihat kepada realiti dan kesusahan yang dihadapi rakyat.

“Justeru, penting untuk kerajaan Najib tidak syok sendiri dan kembali kepada realiti kesusahan yang dihadapi rakyat pada hari ini.

“Kembalikan kos pengangkutan yang berpatutan mengikut tahap bebanan ekonomi rakyat,” gesanya.

Dalam masa yang sama, Dr Dzul juga menggesa supaya kerajaan tidak berdolak-dalik muntuk mendedahkan laporan tahunan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

“Kekhuatiran berlakunya penyelewengan dalam pengurusan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) semakin dirasakan umum.

“Saya mengulangi desakan kami agar KTMB dan Kementerian Pengangkutan mendedahkan segera Laporan Tahunan KTMB bagi 3 tahun yang lalu. Ke mana perginya RM11.69 bilion wang rakyat dibelanjakan?” katanya lagi. – Roketkini.com