Berita

Kerajaan PAS Kelantan dirayu tidak abai kepentingan hak tanah Orang Asli

*Kredit foto Buletin Mutiara

GEORGE TOWN, 21 APR: Kerajaan Kelantan dirayu supaya tidak lagi mengabaikan perjuangan Orang Asli khususnya di Gua Musang yang mempertahankan hak tanah mereka dari terus menjadi mangsa pembalakan kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

“Kita tidak seharusnya korbankan nasib Orang Asli tanpa memberikan sekurang-kurangnya sebab tempat tinggal mereka mesti diceroboh dengan aktiviti pembalakan,” ujarnya pada Majlis Keraian Jamuan Tengah Hari bersama Aktivis Muda Orang Asli di Penang Institute.

Penerokaan hutan di Kelantan jelasnya semata-mata bagi mendapatkan hasil.

Beliau pada masa yang sama menzahirkan sokongan penuh terhadap perjuangan Orang Asli yang mempertahankan tanah tempat tinggal mereka di dalam hutan daripada aktiviti pencerobohan dan pembalakan, seperti di Kelantan.

Menurut Ahli Parlimen Bagan itu, merujuk laporan rasmi Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, penerokaan Hutan Simpanan Kekal terbesar sejak tahun 2006 adalah di Pahang dengan keluasan 161,379 hektar (ha), diikuti Kelantan dengan keluasan 157,919 ha.

Tegas Guan Eng, sejak tahun 2006, Pulau Pinang merupakan satu-satunya negeri yang tidak pernah meneroka Hutan Simpanan Kekal, selari dengan aspirasi untuk menjadikan negeri ini sebagai ‘Negeri Hijau dan Sihat’ lapor Buletin Mutiara.

Kerajaan Pakatan Harapan bela hak penduduk

Dalam perkara berkaitan, beliau turut menjawab kekeliruan yang timbul akibat tohmahan pihak tertentu memburuk-burukkan kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang melibatkan kes tanah di Kampung Permatang Tok Subuh.

Dalam kes itu, sebanyak 27 keluarga asal yang mendiami kampung tersebut berhadapan dengan risiko pengusiran daripada pihak pemaju.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang sentiasa memberi sokongan dan berdiri teguh di belakang penduduk kampung bagi mendapatkan keadilan dan pampasan yang setimpal untuk membina kediaman baharu di atas sebidang tanah lain pemberian Kerajaan Negeri.

“Tuan tanah swasta akhirnya setuju untuk memberikan pampasan setimpal kepada penduduk asal kampung ini,” kata beliau.

Hadir sama dalam program itu ialah Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong.

Program bersama anak muda Orang Asli yang diadakan ini katanya telah berlangsung selama tiga hari bermula 19 Mac lalu meliputi beberapa negeri seperti Kelantan, Pahang, Perak dan Sarawak.

“Selain berkongsi pengalaman dan perjuangan Orang Asli dengan penduduk Kampung Tok Subuh, anak muda yang terlibat dalam program ini turut dibawa melawat jabatan-jabatan Kerajaan Negeri serta didedahkan mengenai tadbir urus ‘bersih’ di negeri ini,” ujarnya yang juga Pengarah Penang Institute (PI).

Beliau turut merakamkan penghargaan pada aktivis muda daripada Penggerak Komuniti Muda (PEKA) yang diketuai oleh Saudara Adam Adli Abdul Hamid, kerana begitu banyak membantu perjalanan lawatan sambil belajar 32 anak muda Orang Asli terbabit.

‘Rakyat diberi peluang memerintah’

Wakil belia Orang Asli, Sabariah Juru, 28, ketika menyampaikan merakamkan penghargaan atas solidariti sokongan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang terhadap perjuangan hak tanah Orang Asli, termasuk di Kelantan.

“Kami telah belajar bagaimana Kerajaan (Negeri) Pulau Pinang ini memberi peluang kepada rakyatnya untuk ‘memerintah’, maksud saya bagaimana rakyat diberi peluang untuk membuat keputusan dalam pemerintahan sebuah Kerajaan.

“Kami Orang Asli, Kerajaan Persekutuan tidak memberi peluang kepada kami untuk membuat keputusan,” ujarnya yang juga anggota Impian Malaysia. –Roketkini.com