KUALA LUMPUR, 21 APR: Sentimen perkauman dan ekstrimis serta penyebaran berita palsu adalah mainan kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN) dalam kempen berskala besar bagi menutup kepincangan tadbir urus sosio-ekonomi negara.
Dalam usaha terancang itu, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, UMNO-BN telah berjaya menarik PAS untuk ikut sama memainkan sentimen anti bukan Melayu dan anti bukan Islam yang sejak sekian lama dipelopori parti berasaskan kaum itu.
“Mereka harap semua ini cukup untuk menutup skandal rasuah terbesar di dunia – skandal RM52 bilion 1MDB dan skandal derma AS$1 bilion,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, media kawalan UMNO-BN pula lebih gemar menyiarkan laporan palsu untuk menakut-nakutkan orang Melayu dengan pelbagai tuduhan terhadap DAP.
Bagaimanapun, kata Guan Eng, media kawalan UMNO-BN tidak pula berani untuk melaporkan kisah benar mengenai masalah penagih dadah yang kian meningkat jumlahnya saban hari mahupun mengenai kesusahan kewangan yang dihadapi rakyat.
Katanya yang juga Ahli Parlimen Bagan, rakyat tambah terbeban dengan peningkatan kadar inflasi yang pada bulan lalu mencecah 5.1 peratus iaitu terburuk sejak mencecah 5.7 peratus pada November 2008.
Inflasi tinggi bebankan rakyat
“Peningkatan kadar inflasi ke 5.1 peratus akan lebih menjejaskan golongan berpendapatan rendah berbanding mereka yang berpendapatan tinggi.
“Ini kerana golongan berpendapatan rendah membelanjakan sebahagian besar peratus pendapatan mereka untuk barangan keperluan yang terkesan dengan kadar inflasi,” ujarnya.
Apa yang lebih membimbangkan, kata Guan Eng, Malaysia mengalami peningkatan inflasi ketika dunia tidak mengalami krisis besar ekonomi seperti yang terjadi pada 1998 dan 2008.
“Bayangkan bagaimana teruknya situasi jika adanya krisis ekonomi global ekoran dasar tidak konsisten Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump,” ujarnya.
Malah, katanya, kerajaan UMNO-BN tidak boleh beralasan bahawa peningkatan kadar inflasi itu terjadi ekoran peningkatan harga minyak.
“Saya masih ingat UMNO-BN menjelaskan bahawa nilai ringgit jatuh kerana harga minyak dunia jatuh yang mana Malaysia sebagai pengeluar minyak turut terjejas. Ketika itu harga minyak dunia ialah AS$30 setong dan nilai ringgit berlegar RM4-4.10 berbanding dolar AS.
“Mengikut logik itu, nilai ringgit patutnya meningkat jika harga minyak dunia meningkat. Tetapi nilai ringgit sebaliknya semakin menjunam ke paras RM4.45 berbanding dolar AS ketika harga minyak dunia dipasarkan dengan harga AS$50 setong,” ujarnya. – Roketkini.com.