Berita

DAP usahakan bekalan air, elektrik untuk warga Kulai terpinggir

KULAI, 25 APR: Dua keluarga di Kampung Tersusun dekat sini terpaksa bergelap selain menghadapi kesukaran untuk mendapatkan air bersih.

Wagiman Bin Salleh, 74, berkata beliau sekeluarga terpaksa menghadapi masalah itu sejak rumah di bawah skim Perumahan Rakyat Miskin Tegar (PPRT) yang diduduki mereka itu siap pada September tahun lepas.

“Saya dan ahli keluarga seramai 11 orang terpaksa pindah ke dalam sejak November yang lepas sebab rumah anak saya tak muat lagi untuk kami tumpang di sana.

“Pada mulanya, kami menggunakan generator yang diberikan oleh kontraktor pembinaan rumah. Tetapi tak sampai sebulan pun, generator sudah rosak. Kami terpaksa mengguna lilin dan lampu minyak tanah semasa waktu malam,” ujarnya.

Selain itu, katanya, ketiadaan bekalan air juga banyak membebankannya dan keluarganya yang terpaksa bergantung kepada air hujan atau sungai yang terletak sejauh dua kilometer (km) dari rumah mereka.

Meskipun bekalan air mula disalurkan sejak pertengahan Mac, katanya, meter air terletak jauh dari rumah mereka, iaitu sejauh 700 meter.

“Paip air bukan sambung melalui bawah tanah. Kadangkala penyambung paip air akan terlepas dan air dibazirkan. Untuk mengelakkan pembaziran air, kami terpaksa menutup meter air semasa waktu malam dan buka balik pada waktu pagi,” katanya.

Manakala, Fauziah Binti Idris, 45, bersama suami dan empat anak yang berpindah ke kampung berkenaan sejak Januari lepas terpaksa menggunakan generator yang memakan kos RM10 sehari, malah terpaksa mendapatkan bekalan air dari perigi.

Cucu Wagiman terpaksa belajar menggunakan lilin

Menurut Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching, isu ketiadaan bekalan air dan elektrik yang berlaku di Kampung Tersusun telah dibangkit beliau dalam sidang Parlimen baru-baru ini.

Berdasarkan jawapan yang diberikan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Haji Ahmad Jazlan Haji Yaakub, bekalan elektrik luar bandar perlu memenuhi syarat yang pertama, iaitu mesti 30 peratus penduduk di kawasan tersebut mewakili populasi masyarakat sekitar mukim atau kampung membuat permohonan.

Nie Ching berkata, pemilik tanah di Kampung Tersusun terdiri daripada 185 keluarga generasi kedua Felda.

Justeru, katanya, seperti jawapan menteri UMNO berkenaan, kampung tersebut memerlukan sekurang-kurangnya 56 keluarga untuk tinggal di sana bagi membolehkan bekalan elektrik disalurkan.

“Kebanyakan pemilik tanah enggan pindah ke sini kerana bekalan air dan elektrik tidak disediakan.

“Oleh itu, saya akan mengumpul tandatangan daripada mereka yang berhasrat pindah ke sini, supaya dapat buat petisyen permohonan bekalan air dan elektrik, untuk diserah kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah,” ujarnya.

Menurutnya yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP, Malaysia tidak akan menjadi negara maju jika kerajaan tidak mampu menyelesaikan masalah kemudahan asas seperti ini.

“Sedangkan jarak dari Kampung Tersusun dengan kawasan yang berbekalan air dan elektrik, hanya 400 meter sahaja. Kerajaan bertanggungjawab untuk memastikan tiada rakyat terpinggir terutama melibatkan keperluan asas seperti ini,” katanya.

Nie Ching menziarahi kampung tersebut semalam, ditemani Pengerusi Penaja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Kulai, Tuan Haji Tosrin Javanthi. – Roketkini.com