Berita

Menjelang pilihanraya, BN mulakan gimik dengan pelan tindakan kaum India

IPOH, 25 APR: Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, M Kula Segaran mendakwa Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak tidak jujur dalam membantu kaum India.

Jika kerajaan BN jujur, kata Kula, segala masalah yang dihadapi kaum India berkaitan ekonomi, pendidikan, sosial, pekerjaan, serta isu warganegara tidak akan berpanjangan sehingga sekarang.

Malah, kata Kula, pelan tindakan untuk kaum India yang diumumkan Najib yang juga perdana menteri dengan peruntukan yang besar pada Ahad lepas dilihat sebagai taktik untuk memancing undi dan sokongan.

“Jika kerajaan benar-benar mahu membantu komuniti India, mereka sepatutnya sudah menunjukkan keputusan dan pencapaian yang baik dalam membantu kaum India sejak pilihan raya yang lepas.

“Jika tidak, bagaimana perdana menteri dapat memastikan bahawa pelan tindakan terbaru ini dapat dilaksanakan dengan berkesan untuk memberi manfaat kepada masyarakat India?” soalnya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau turut memetik artikel majalah antarabangsa TIME pada 2000 yang merakamkan perasaan kebanyakan kaum India di negara ini yang merasakan diri mereka seolah-olah masyarakat kelas ketiga sejak Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan pada 1970.

Dalam pada itu, Kula yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat berkata, Jawatankuasa Terpilih Parlimen perlu ditubuhkan untuk memastikan input yang komprehensif dan holisitik diperolehi daripada semua lapisan masyarakat sebelum sebarang pengumuman pelan tindakan dibuat.

Selepas itu, menurutnya, segala perkembangan dan pencapaian pelan tindakan tersebut haruslah dibentangkan di Parlimen setiap tahun bagi memastikan adanya semak dan imbang.

“Najib berkata, pelaksanaan pelan tindakan itu akan diselia oleh sebuah jawatankuasa eksekutif yang dipengerusikan Presiden MIC Dr S Subramaniam.

“Pengumuman itu tidak membangkitkan keyakinan. Kita sudah ada Pasukan Petugas Khas Pelaksanaan (SITF) di bawah beliau (Subramaniam) selama empat tahun. Apa hasilnya? Tiada apa-apa yang terhasil untuk masyarakat (India),” ujarnya.

Justeru, katanya, kaum India ada pelbagai sebab untuk meragui bahawa pelan tindakan yang diumumkan Najib itu hanya sekadar untuk mengabui kelemahan kerajaan menyelesaikan masalah masyarakat tersebut dan tidak lebih sebagai gimik politik menjelang pilihan raya. – Roketkini.com